Kenaikan diesel: Pengilang jangka kos operasi meningkat hingga 30% | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kenaikan diesel: Pengilang jangka kos operasi meningkat hingga 30%

Gambar hiasan - Unsplash.com
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 30 Mac – Persatuan Pengilang & Industri Perkhidmatan Bumiputera Malaysia (Pengilang) menggesa kerajaan mempertimbangkan pelaksanaan mekanisme subsidi diesel secara berperingkat bagi mengurangkan kejutan kos yang dihadapi sektor industri susulan kenaikan harga bahan api itu.

 

Presidennya, Datuk Azman Yusoff berkata, pendekatan tersebut penting bagi memastikan kesinambungan operasi perniagaan selain melindungi daya saing industri tempatan dalam persekitaran ekonomi yang mencabar.

 

 

 

 

 

Beliau berkata, kenaikan harga diesel yang diumumkan baru-baru ini dijangka memberi kesan langsung dan signifikan kepada sektor perindustrian, khususnya dalam kalangan pengilang serta perusahaan yang terlibat dalam pembuatan dan pemprosesan barangan keperluan harian.

 

Menurutnya, walaupun sebahagian syarikat masih menikmati diesel bersubsidi untuk tujuan pengangkutan seperti lori logistik, banyak operasi pengeluaran turut bergantung kepada diesel serta bahan api lain termasuk gas petroleum cecair (LPG).

 

Katanya, kebergantungan tersebut amat ketara dalam sektor pemprosesan makanan dan industri kecil dan sederhana (IKS) yang menggunakan bahan api berkenaan dalam penyediaan produk separa siap.

 

“Pengilang menjangkakan peningkatan kos operasi sehingga 30%, sekali gus memberi tekanan kepada syarikat pengeluar dalam mengekalkan margin keuntungan masing-masing.

 

“Dalam jangka masa panjang, beban kos yang meningkat itu berkemungkinan dipindahkan kepada pengguna melalui kenaikan harga barangan, sekali gus memberi kesan kepada inflasi,” katanya dalam satu kenyataan.

 

 

 

 

 

 

Dalam pada itu, Pengilang turut menggesa kerajaan mengadakan sesi libat urus yang lebih menyeluruh bersama pemain industri bagi merangka langkah mitigasi yang lebih efektif dan bersasar.

 

Beliau berkata, pengilang yang terlibat dalam pasaran eksport juga berdepan cabaran tambahan berikutan gangguan laluan perkapalan di perairan utama Timur Tengah serta peningkatan kos insurans kargo.

 

Justeru, Pengilang menegaskan komitmennya untuk terus bekerjasama dengan kerajaan dalam mencari penyelesaian seimbang demi memastikan kelangsungan ekonomi negara dan kesejahteraan rakyat. - DagangNews.com