KUALA LUMPUR 8 Okt – Malaysia kini hampir menghapuskan sepenuhnya kemiskinan tegar apabila hanya 0.09 peratus atau sekitar 7,000 isi rumah dikenal pasti masih berada dalam kategori itu, berbanding lebih 27,000 isi rumah pada 2020.
Menteri Ekonomi, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, pencapaian itu membukti keberkesanan program intervensi seperti pemerkasaan ekonomi bandar dan inisiatif kesejahteraan sosial, seiring kerangka Ekonomi MADANI yang memfokuskan rakyat sebagai teras pembangunan.
Katanya, dapatan itu berdasarkan data terkini daripada Tinjauan Pendapatan, Perbelanjaan dan Kemudahan Asas Isi Rumah (HIES) 2024, yang mencerminkan peningkatan tahap kesejahteraan hidup rakyat serta keberkesanan dasar dan inisiatif kerajaan dalam memperkukuh ekonomi isi rumah.
Kemajuan lain yang direkodkan daripada dapatan HIES 2024 ialah apabila indeks Gini yang digunakan untuk mengukur ketidaksamaan agihan pendapatan turut menunjukkan penambahbaikan iaitu menurun kepada 0.390 pada 2024, berbanding 0.404 pada 2022.
Ini menandakan agihan pendapatan yang lebih saksama di seluruh negara sekaligus menunjukkan golongan berpendapatan sederhana meningkat lebih cepat berbanding kumpulan berpendapatan tinggi.
Selain itu HIES 2024 turut menunjukkan pendapatan purata bulanan isi rumah di Malaysia meningkat kepada RM9,155 pada 2024, mencatat pertumbuhan 3.8 peratus berbanding RM8,372 pada 2022.
Malaysia turut memperlihatkan kejayaan dalam membasmi kemiskinan apabila kadar kemiskinan mutlak menurun kepada 5.1% pada 2024 berbanding 6.2 peratus pada 2022.

Amir Hamzah berkata data berkenaan membuktikan dasar peningkatan pendapatan, reformasi pasaran buruh dan bantuan sosial yang disasarkan mula memberi kesan nyata kepada rakyat.
“Peningkatan ini adalah hasil langsung daripada pelbagai program peningkatan pendapatan dan dasar berorientasikan rakyat yang kini membuahkan hasil nyata,” katanya ketika melancarkan laporan tersebut di Putrajaya hari ini.
Amir Hamzah yang juga Menteri Kewangan II berkata, kerajaan kini menumpukan usaha mengeluarkan baki 7,000 isi rumah yang masih terperangkap dalam kitaran kemiskinan menerusi pelbagai program bersasar seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA).
"Kita sudah kenal pasti mereka ini. Dengan intervensi yang tepat, saya yakin kita boleh capai kadar sifar miskin tegar. Cuma kita perlu akui, akan sentiasa ada kemungkinan isi rumah baharu jatuh miskin disebabkan kehilangan kerja atau faktor luar jangka," katanya.
Beliau berkata, kerajaan turut memperkukuh jaringan perlindungan sosial supaya bantuan dan peluang ekonomi sampai kepada golongan paling memerlukan, khususnya di kawasan pedalaman serta bandar berpendapatan rendah.
Selain itu, katanya, menjelaskan usaha membasmi kemiskinan tidak hanya bergantung kepada bantuan tunai semata-mata, sebaliknya turut merangkumi mobiliti sosial melalui pendidikan, kemahiran dan peluang pekerjaan lebih baik di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
"Kita faham ada isi rumah yang sukar keluar dari belenggu kemiskinan, sebab itu kita lakukan intervensi terus. Matlamatnya ialah menukar cara hidup dan memberi peluang sebenar untuk mereka meningkatkan taraf hidup sendiri," katanya.
Amir Hamzah menegaskan, kerajaan berpegang kepada prinsip bahawa dasar ekonomi mesti bersandarkan kepada data dan fakta sahih bagi memastikan setiap intervensi memberi hasil yang optimum.
"Dengan data HIES ini, analisis kita lebih tepat dan keputusan dibuat berdasarkan bukti, bukan andaian. Itulah cara terbaik memastikan dasar kerajaan benar-benar membantu rakyat," katanya.
Beliau berkata, peningkatan hasil kerajaan disokong reformasi fiskal membolehkan lebih banyak sumber disalurkan kepada pembangunan kemudahan asas seperti hospital dan sekolah, serta memperkukuh bantuan kepada golongan rentan.
"Apabila hasil meningkat, kita boleh tambah bantuan rakyat tanpa menjejaskan disiplin fiskal. Inilah keseimbangan yang kita capai melalui reformasi fiskal kerajaan," katanya. - DagangNews.com








