Kementerian Kewangan perkasakan agenda pertumbuhan berpaksikan rakyat, lonjakkan ekonomi melalui reformasi | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kementerian Kewangan perkasakan agenda pertumbuhan berpaksikan rakyat, lonjakkan ekonomi melalui reformasi

KUALA LUMPUR 4 Nov – Malaysia perlu memberi keutamaan kepada projek yang memfokuskan rakyat, reformasi fiskal dan tadbir urus yang lebih kukuh berbanding projek mega mewah untuk memastikan pertumbuhan ekonomi mampan, kata Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood Merican.

 

Beliau berkata, Bajet 2026 adalah sebahagian daripada penyusunan semula jangka panjang untuk membantu Malaysia mencapai aspirasi pertumbuhannya.

 

Tambahnya, hasrat untuk menjadi negara berpendapatan tinggi juga perlu seimbang dengan realiti cabaran yang perlu dihadapi.

 

“Bagaimana kita boleh bercakap tentang menjadi negara maju berpendapatan tinggi apabila perkara asas pun kita belum urus dengan betul,” katanya, lapor FMT.

 

Tambahnya, daripada menyalurkan sumber kewangan kepada projek mega yang mahal, Putrajaya lebih memilih untuk memfokuskan inisiatif yang memberi manfaat kepada rakyat, seperti membaiki jalan, pasar dan sekolah.

 

“Langkah ini bukan sahaja memudahkan kehidupan rakyat Malaysia tetapi juga mewujudkan peluang pekerjaan untuk kontraktor kecil.

 

“Anda boleh lihat fokus berterusan terhadap perkara asas, seperti kenaikan peruntukan untuk penyelenggaraan jalan termasuk membaiki lubang di jalan raya. 

 

“Fokus kami terhadap perumahan kos rendah adalah satu lagi usaha untuk memenuhi keperluan rakyat biasa,” katanya.

 

Inisiatif seperti itu yang kebiasaannya melibatkan kontraktor tempatan secara tidak langsung akan turut menghasilkan kesan berganda dalam ekonomi setempat.

 

Dalam pentadbiran sebelum ini, projek mega sering menjadi kaedah pilihan untuk merangsang ekonomi. 

 

Bagaimanapun, projek-projek tersebut biasanya tertumpu di bandar besar, menyebabkan limpahan ekonomi yang terhad di kawasan luar bandar Malaysia.

 

Dengan ekonomi global dijangka lebih perlahan pada 2026, kerajaan juga perlu memperuntukkan wang secara berhemah untuk memastikan nilai yang optimum dan mengekalkan pertumbuhan untuk semua rakyat Malaysia.

 

t

 

Johan berkata, walaupun terdapat cabaran tertentu yang sudah dijangka, prospek Malaysia tetap kukuh. 

 

“Kedudukan kewangan negara kekal stabil dan berdaya tahan hasil pelaksanaan pembaharuan fiskal yang tepat pada masanya bagi mengurangkan pembaziran dalam perbelanjaan kerajaan serta penguatkuasaan yang lebih kukuh untuk meningkatkan hasil.

 

“Saya tidak tahu jika ada mana-mana pentadbiran kerajaan sebelum ini yang telah mengkaji begitu banyak subsidi,” katanya, merujuk kepada pemansuhan subsidi menyeluruh untuk elektrik, diesel dan RON95, serta pengenalan cukai ke atas keuntungan modal dan dividen.

 

“Jika itu bukan komitmen terhadap reformasi fiskal, saya tidak tahu apa lagi,” katanya.

 

Mengenai tadbir urus, Johan berkata, Akta Perolehan telah diluluskan baru-baru ini untuk mengawal perbelanjaan, manakala reformasi parlimen seperti Sesi Soal Jawab Perdana Menteri dan penubuhan lebih banyak jawatankuasa pilihan turut diperkenalkan.

 

Selain itu, katanya, kuasa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Ketua Audit Negara untuk menjejaki dana awam secara menyeluruh juga telah dipertingkatkan.

 

“Ini berkaitan dengan mereformasi tadbir urus untuk menghasilkan keputusan yang lebih baik dan penggunaan sumber negara yang lebih efisien untuk pembangunan,” katanya.

 

Penguatkuasaan turut menjadi tumpuan utama. Daripada memperkenalkan cukai baharu yang membebankan rakyat, kerajaan menumpukan kepada pematuhan.

 

“Ini termasuk langkah seperti mewajibkan penggunaan data transaksi untuk mengenal pasti lebih ramai pembayar cukai, termasuk mereka yang beroperasi namun tidak melaporkan pendapatan sepenuhnya (grey economy).

 

“Dengan e-Invois, kami cuba memastikan mereka yang tidak membayar cukai agar mula berbuat demikian. Ini bukan sahaja reformasi fiskal, tetapi juga reformasi tadbir urus,” katanya.

 

Johan berkata usaha reformasi ini telah pun termaktub dalam tiga tonggak kerangka Ekonomi Madani, iaitu memperkukuh tadbir urus dan kelestarian fiskal, membolehkan pertumbuhan lebih tinggi melalui transformasi, serta meningkatkan taraf hidup supaya hasil pertumbuhan dikongsi secara adil.