KUALA LUMPUR 5 Feb – Kelle Energy, sebuah syarikat teknologi tenaga bersih berpangkalan di Singapura, melancarkan pengecas kenderaan elektrik mudah alih pertama di Malaysia yang diintegrasikan dengan Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri (BESS).
Majlis pelancaran itu dirasmikan oleh Ahli Parlimen Bakri merangkap Ahli Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen bagi Infrastruktur, Pengangkutan dan Komunikasi, Tan Hong Pin dan disaksikan oleh wakil Suruhanjaya Tenaga Malaysia (ST).
Pengecas EV mudah alih Kelle Energy menggunakan teknologi pengecasan pantas arus terus (DC) serta pengurusan tenaga pintar.
Sistem ini membolehkan unit pengecasan dikerahkan dengan pantas tanpa perlu kerja pembinaan atau pengukuhan grid elektrik yang rumit.
Satu unit pengecas mudah alih mampu menyokong pelbagai jenis kenderaan elektrik sekaligus, menjadikannya pelengkap kos efektif kepada infrastruktur pengecasan tetap sedia ada di negara ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Kelle Energy, Jason Koh berkata pelancaran ini bukan sekadar pengenalan produk, tetapi langkah penting untuk memacu ekosistem EV yang lebih pintar dan fleksibel di Malaysia.
“Dengan sokongan rakan strategik seperti Gotion High-Tech dan EV Connection, serta hala tuju dasar Malaysia yang jelas dalam elektrifikasi dan kemampanan, kami yakin pengecasan EV mudah alih akan memainkan peranan penting dalam peralihan negara ke arah ekonomi rendah karbon,” katanya.


Langkah Kelle Energy sejajar dengan usaha Malaysia mempercepatkan penggunaan EV melalui inisiatif Rangka Kerja Mobiliti Rendah Karbon 2021–2030.
Pengecas mudah alih ini juga membantu mengurangkan kesesakan di stesen pengecasan dan mengoptimumkan ruang di kawasan bandar yang mempunyai kekangan infrastruktur.
Majlis pelancaran turut menyaksikan pemeteraian dua Memorandum Persefahaman (MoU).
MoU pertama adalah antara Kelle Energy dan Anhui Yijianeng Digital Technology Co Ltd, anak syarikat Gotion High-Tech, bagi menyokong pelaburan strategik dan pembangunan perniagaan penyelesaian tenaga mudah alih serta aplikasi BESS.
MoU kedua melibatkan Kelle Energy, Anhui Yijianeng Digital Technology Co Ltd dan EV Connection Sdn Bhd bagi pengembangan pengecas EV mudah alih di seluruh negara.
Kerjasama ini bertujuan menyediakan pengecas EV mudah alih di kawasan bandar, tempat perniagaan, syarikat yang mempunyai banyak kenderaan, serta laluan atau kawasan yang penggunaan EV semakin meningkat.
Gotion bertindak sebagai rakan teknologi pengecas EV mudah alih bagi Kelle Energy. Syarikat itu juga sedang dalam perbincangan akhir dengan kerajaan negeri Johor untuk membina kilang pembuatan bateri litium canggih, sekali gus meletakkan Malaysia sebagai pemain utama dalam rantaian bekalan EV serantau. - DagangNews.com








