Kelington, Worldwide Energy & SKS lancar projek hab hidrogen hijau 2MW di Batang Kali | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kelington, Worldwide Energy & SKS lancar projek hab hidrogen hijau 2MW di Batang Kali

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 10 Okt – Kelington Group Berhad bekerjasama dengan Worldwide Energy Development Sdn. Bhd dan SKS Coachbuilders Sdn. Bhd bagi membangunkan hab pengeluaran hidrogen hijau 2 Megawatt di loji janakuasa hidro Kecil Batang Kali, Selangor.

 

Worldwide Energy ialah anak syarikat Worldwide Holdings Berhad, GLC Selangor yang menjalankan perniagaan dalam bidang tenaga, pengurusan alam sekitar, hartanah dan peranti perubatan. 

 

Syarikat itu aktif dalam inisiatif teknologi hijau di seluruh Selangor dan mengetuai Program Sumber Berorientasikan Hidrogen Selangor (SHORE) untuk menyokong agenda kelestarian negeri.

 

Worldwide Energy juga telah membangunkan Loji Janakuasa Hidro Kecil Batang Kali berkapasiti 5.1 MW yang mula beroperasi pada Disember 2024.

 

SKS merupakan pengeluar bas dan koc tempatan yang mempunyai kehadiran di pasaran domestik dan serantau. Ia sedang membangunkan bas Fuel Cell Electric Vehicle (FCEV) yang dikuasakan oleh sel bahan api hidrogen dan bateri, termasuk membangunkan infrastruktur stesen pengisian hidrogen.

 


Melalui MoU yang dimeterai, Ace Gases Sdn. Bhd, anak syarikat Kelington akan mengetuai pembangunan loji elektroliser hidrogen hijau dan menguruskan pengeluaran hidrogen. 

 

Worldwide Energy pula akan menyediakan tanah, tenaga boleh diperbaharui, air dan sokongan peraturan manakala SKS akan memacu integrasi hiliran melalui pelaksanaan bas Fuel Cell Electric Vehicle (FCEV), pembangunan stesen pengisian hidrogen serta penglibatan industri tempatan.

 

Projek ini adalah satu usaha strategik dalam memajukan tenaga bersih dan hidrogen hijau di Malaysia dengan hidrogen dihasilkan melalui elektrolisis menggunakan tenaga daripada Loji Hidro Batang Kali. 

 

MoU itu sah selama dua tahun dengan pilihan untuk dilanjutkan berdasarkan persetujuan bersama.

 

Sehingga 2024, lebih 1,000 stesen pengisian hidrogen telah beroperasi di seluruh dunia dengan kapasiti elektroliser global mencapai kira-kira 2GW, di mana China menyumbang 65% daripada kapasiti tersebut. 

 

Negara lain seperti India, Jerman, Sepanyol dan Australia turut melaksanakan projek berskala gigawatt bagi menyokong peralihan tenaga global.

 

Kelington dan rakan kongsinya optimis projek itu dapat memperkasakan penggunaan hidrogen hijau, penghasilan tenaga bersih serta mencipta peluang pekerjaan di Malaysia. - DagangNews.com