Kelington raih kontrak RM108 juta bagi projek kemudahan pembungkusan termaju di Singapura | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kelington raih kontrak RM108 juta bagi projek kemudahan pembungkusan termaju di Singapura

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 22 Sept - Kelington Group Berhad memperoleh kontrak bernilai S$33 juta (kira-kira RM108 juta) daripada syarikat pakar kejuruteraan pasang siap (turnkey) bagi melaksanakan projek sistem paip pengagihan gas pukal bagi keudahan pembungkusan termaju di Singapura (“Projek”).

 

Kumpulan itu menerusi Kelington Engineering (S) Pte Ltd (KESG), dianugerahkan kontrak tersebut pada 22 September 2025.

 

Menerusi perjanjian itu, KESG akan melaksanakan kerja-kerja pemasangan sistem paip pengedaran gas pukal untuk fasiliti berkenaan, yang sedang dibangunkan bagi sebuah pengeluar cip memori global terkemuka.

 

"Kerja-kerja tersebut akan dimulakan serta-merta sehingga pengeluaran Sijil Siap Muktamad oleh pemilik projek, yang menandakan penyempurnaan semua kerja tertunggak di bawah kontrak dan dijangka siap pada Disember 2026," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kelington Group Berhad, Ir. Raymond Gan berkata, pihaknya terus mendapat manfaat daripada pertumbuhan kukuh industri semikonduktor, apabila semakin banyak kilang pembuatan dibina atau diperluaskan bagi memenuhi kemajuan teknologi dan memperkukuh rantaian bekalan tempatan.

 

"Strategi pengembangan global kami telah meletakkan kumpulan pada kedudukan yang baik untuk merebut peluang ini dan secara konsisten memperoleh kontrak baharu," katanya.

 

Sehingga 30 Jun 2025, buku pesanan tertunggak kumpulan berjumlah RM1.3 bilion, memberikan keterlihatan pendapatan yang kukuh. 

 

Dalam bulan berikutnya iaitu Julai dan Ogos 2025, kumpulan berjaya mendapatkan tambahan kontrak bernilai RM407.9 juta, dengan RM318.1 juta daripadanya disumbangkan oleh projek di Singapura dan Eropah. 

 

Termasuk anugerah terbaharu bernilai RM108 juta di Singapura itu, buku pesanan umpulan terus berkembang secara stabil.

 

“Aktiviti tender kekal kukuh, dan kami menjangkakan lebih banyak kejayaan akan dicapai apabila pengeluar semikonduktor global terus mempercepatkan pelaburan bagi menyokong teknologi generasi baharu. 

 

"Anugerah terbaharu ini mengukuhkan rekod prestasi cemerlang Kelington dalam melaksanakan projek kejuruteraan yang kompleks, sekali gus meletakkan Kumpulan pada kedudukan untuk meraih manfaat daripada peningkatan permintaan yang dipacu AI,” katanya.- DagangNews.com