KUALA LUMPUR 27 Nov – Prestasi HSS Engineers Berhad bagi 3Q25 terus dipengaruhi oleh isu kelewatan kerja projek rel Metro Baghdad di Iraq, apabila keuntungan bersih teras hanya berjumlah RM8.8 juta.
Menurut CGS International, meskipun untung selepas cukai (PAT) meningkat sebanyak 20% tahun ke tahun (YoY), namun masih gagal mencapai jangkaan firma penyelidikan tersebut iaitu hanya mewakili 37%.
Katanya, bagi tempoh 9M25, keuntungan bersih teras cuma RM17.2 juta disebabkan bahagian rundingan pengurusan projek (PMC) syarikat menjana pendapatan lebih rendah iaitu RM24 juta, susut 4% YoY.
"Ini ekoran kelewatan kelulusan pembayaran projek Metro Baghdad, dan setakat September 2025, kerja PMC mencapai 45% fizikal dengan 37% diiktiraf dalam penyata untung rugi HSS Engineers," katanya.
Bagaimanapun, jadual siap ditolak kepada pertengahan FY26, berbanding jangkaan asal akhir FY25, dngan projek tersebut menyumbang kurang 30% daripada jumlah buku tempahan sebanyak RM2.2 bilion.
CGSI menambah, faktor utama kelewatan ialah kelulusan penting daripada Kementerian Perancangan Iraq yang masih lagi tertangguh, sebelum pembayaran pertama dapat disalurkan kepada kumpulan berkenaan.
HSS Engineers menjangkakan kelulusan akan diperoleh tidak lama lagi, sebelum disusuli pengesahan oleh Kementerian Kewangan dan pembayaran dijangka dibuat secara komersial dalam empat peringkat.
"Langkah terakhir itu diunjur selesai sepenuhnya menjelang 1QFY26, dan walaupun risiko kelewatan Metro Baghdad kekal ketara, kami menilai sahamnya kini sudah terlebih jual," kata firma berkenaan.
Ia diniagakan di paras terendah dalam julat sejarah, dan CGSI mengekalkan saranan 'tambah', namun firma itu mengurangkan unjuran pendapatan sesaham dari FY25 hingga FY28 sebanyak 8% hingga 52%.
Penurunan itu sejajar pengiktirafan pendapatan yang lebih konservatif, manakala harga sasaran turut diturunkan kepada RM1.12 sesaham berdasarkan kepada penilaian aliran tunai diskaun. - DagangNews.com








