KUALA LUMPUR 5 Nov – Kerjasama strategik antara kerajaan negeri, agensi persekutuan, institusi pendidikan, syarikat telekomunikasi dan usahawan muda tempatan dijangka memperkukuh ekosistem keusahawanan digital di Kelantan melalui inisiatif Kelantan Youth DigitalPreneur (KYD).
Inisiatif itu melibatkan Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC); Universiti Malaysia Kelantan (UMK); CelcomDigi; Telekom Malaysia (TM); serta usahawan muda tempatan.
Satu sesi perbincangan diadakan baru-baru ini bertujuan mengenal pasti isu dan cabaran yang dihadapi belia usahawan digital Kelantan, mencadangkan intervensi dan sokongan daripada agensi, serta merangka pelan pelaksanaan KYD 2026.
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat Negeri Kelantan, Zamakhshari Muhamad berkata, belia negeri itu mempunyai potensi besar untuk menjadi peneraju dalam dunia digital.
Beliau berkata, kerjasama tersebut akan melahirkan lebih ramai usahawan digital muda yang mampu bersaing di pentas global.
“Saya percaya belia Kelantan mempunyai potensi luar biasa untuk menjadi peneraju dalam dunia digital. Insya-Allah, dengan kerjasama strategik ini, kita akan melahirkan lebih ramai usahawan digital muda Kelantan yang mampu berdiri di pentas global,” katanya dalam satu kenyataan.

Pembentangan oleh MDEC menekankan peluang baharu dalam ekonomi gig dan pembangunan ekosistem digital berdikari di Kelantan, termasuk program latihan, platform pemasaran digital dan peluang pekerjaan dalam sektor digital.
Sementara itu, UMK memperkenalkan projek AIXcellerate yang menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi memperkasakan usahawan muda supaya lebih kompetitif dalam era digital, termasuk latihan pengurusan perniagaan, pemasaran melalui platform digital dan pembangunan aplikasi pintar.
Sesi tersebut turut membincangkan tiga fokus utama iaitu isu dan cabaran belia usahawan digital Kelantan, cadangan intervensi dan sokongan daripada agensi, serta kerangka pelaksanaan Kelantan Youth DigitalPreneur 2026.
Beliau berkata, dapatan dari perbincangan itu dijangka membantu kerajaan negeri merangka dasar dan program yang lebih tepat untuk golongan belia, sekaligus memastikan mereka dapat memanfaatkan peluang ekonomi digital secara optimum.
“KYD bukan sahaja memberi peluang kepada belia untuk memulakan perniagaan digital tetapi juga membina jaringan profesional, meningkatkan kemahiran teknologi, dan membuka peluang untuk bersaing di peringkat nasional dan antarabangsa.
“Dengan inisiatif KYD, Kelantan dijangka menjadi contoh utama pembangunan ekosistem keusahawanan digital belia di Malaysia, sekali gus menyokong agenda kerajaan negeri dalam memperkukuh ekonomi digital dan mencipta generasi muda yang berdikari, inovatif dan kompetitif,” katanya. - DagangNews.com








