Kelantan sasar peningkatan tenaga boleh diperbaharui kepada 46% menjelang 2027 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kelantan sasar peningkatan tenaga boleh diperbaharui kepada 46% menjelang 2027

Projek solar terapung Danau Tok Uban, Kelantan
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 12 Nov – Kelantan menyasarkan peningkatan sumbangan tenaga boleh diperbaharui (RE) kepada 46% menjelang 2027 berbanding 31% ketika ini sebagai komitmen negeri menyokong dasar tenaga lestari negara.

 

Pembangunan sektor tenaga hijau di Kelantan ketika ini memfokuskan tenaga hidro dan solar sebagai tonggak utama bagi mencapai sasaran tersebut.

 

Projek Hidro Pergau (Sultan Ismail Petra) yang beroperasi sejak tahun 2003 dengan kapasiti 600 megawatt (MW) merupakan loji hidro bawah tanah terbesar di Semenanjung Malaysia. 

 

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi, Datuk Wan Roslan Wan Hamat berkata, projek Hidro Kecil Sungai Kenerong pula menyumbang tambahan 20 MW ke grid tenaga.

 

“Empangan Hidro Elektrik Nenggiri (Nenggiri HEP) yang sedang dibina dijangka siap pada tahun 2027 dengan kapasiti 300 MW, menjadi projek tenaga boleh diperbaharui terbesar milik Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Kelantan,” katanya.

 

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Zuraidin Abdullah (PAS-Chetok) dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri Kelantan.

 

Bagi tenaga solar, beliau menjelaskan Projek Solar Terapung Danau Tok Uban, yang merupakan projek terbesar di Malaysia, telah mula beroperasi pada Januari tahun ini dengan kapasiti 60 MW. 

 

Tambahnya, kerajaan negeri turut merancang pelaksanaan projek hibrid hidro-solar di Pergau pada tahun 2026 dengan kapasiti 45 MW, berserta sistem penyimpanan tenaga bateri (BESS).

 

“Projek Solar Darat LSS5 oleh Samaiden Berhad di bawah perjanjian pajakan tanah seluas 400 ekar dengan Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) dijangka menghasilkan hampir 100 MW tenaga, bersamaan 150 gigawatt-jam (GWh) setahun. 

 

“Tiga projek hidro kecil oleh Malakoff di Sungai Galas yang berkapasiti 84 MW masih dalam pembinaan,” katanya.

 

Beliau menjelaskan, walaupun lebih 95 peratus kapasiti penjanaan tenaga di Kelantan kini datang daripada sumber hijau, kadar penyerapan ke dalam grid nasional masih terbatas akibat kekangan sambungan grid.

 

“Apabila siapnya projek-projek utama termasuk Nenggiri HEP dan LSS5, negeri dijangka mampu meningkatkan sumbangan tenaga boleh diperbaharui kepada sekurang-kurangnya 46% menjelang 2027,” katanya.

 

Beliau berkata, Kelantan kini berada di landasan kukuh dalam memacu penggunaan tenaga hijau, sekali gus memperkukuh keupayaan negeri menjana tenaga mampan dan menyumbang kepada sasaran tenaga boleh diperbaharui negara. - DagangNews.com