Kekurangan cip memori global beri peluang kepada Kelington dapatkan projek kilang semikonduktor baharu - RHB Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kekurangan cip memori global beri peluang kepada Kelington dapatkan projek kilang semikonduktor baharu - RHB Research

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 25 Mac – Meskipun konflik di Timur Tengah menyebabkan kos tenaga meningkat dan bekalan gas helium terganggu, RHB Research menjangkakan ia tidak menjejaskan pertumbuhan jangka panjang dalam sektor semikonduktor. 

 

Firma penyelidikan itu berkata kekurangan bekalan cip memori global sebenarnya mendorong pelaburan baharu dalam kilang-kilang dan Kelington Group berada di barisan hadapan untuk mendapat projek strategik yang berkaitan, sekaligus mengekalkan momentum pertumbuhan syarikat.

 

Sehubungan itu, RHB Research mengekalkan saranan Beli terhadap saham syarikat itu, dengan harga sasaran baharu ditetapkan pada RM6.80, menawarkan potensi kenaikan sebanyak 35 peratus berbanding harga semasa RM5.03. 

 

“Asas perniagaan syarikat yang mantap serta kedudukan kewangan yang stabil memberi peluang kepada pelabur untuk menambah pegangan apabila harga saham mengalami penurunan sementara,” kata RHB Research dalam nota kajiannya.

 

Sehingga suku pertama 2026, tempahan baharu syarikat meningkat 42 peratus berbanding tempoh sama tahun sebelumnya, dan pengurusan menyasarkan tempahan baharu antara RM1.5 bilion hingga RM2 bilion bagi tahun kewangan 2026, berbanding RM1.25 bilion pada 2025. 

 

Peningkatan ini disokong oleh beberapa projek besar, termasuk projek sistem pengedaran gas  bernilai RM414 juta dari kilang pertama di India yang diumumkan pada 24 Mac, manakala tender pakej kimia bernilai hampir sama dijangka diumumkan pada April.

 

Selain itu, beberapa tender utama lain turut menjadi tumpuan pelabur pada suku kedua dan ketiga tahun ini termasuk projek sambungan baharu di Singapura bernilai lebih RM400 juta, projek kilang kedua di Jerman melebihi RM1 bilion, serta projek kontrak umum di Selangor bernilai kira-kira RM1 bilion yang berpotensi melonjakkan rekod tempahan syarikat ke tahap baharu. 

 

Dengan pelbagai projek berskala besar ini, RHB Research yakin Kelington akan terus mengukuhkan kedudukannya dalam pasaran dan menarik minat pelabur tempatan dan luar negara.

 

“Syarikat juga mempunyai 95.2 juta waran yang belum ditebus, yang berpotensi menambah RM131 juta jika ditebus sebelum tarikh tamat pada 24 Julai. Langkah ini dilihat sebagai faktor menyokong pembayaran dividen lebih tinggi pada masa depan, sejajar dengan rekod dividen yang telah dicatatkan pada tahun sebelumnya, termasuk dua pengumuman dividen khas pada suku ketiga dan keempat 2025.

 

“Dalam usaha memperluaskan portfolio perniagaan, Kelington turut menceburi sektor tenaga boleh diperbaharui melalui projek penghasilan gas bio dan penubuhan loji elektroliser 2 megawatt bagi penghasilan hidrogen hijau. 

 

“Perjanjian rasmi bagi projek hidrogen dijangka dimeterai pada suku kedua 2026, yang membuktikan syarikat bukan sahaja fokus kepada semikonduktor tetapi juga bergerak ke arah perniagaan lestari dan mesra alam,” katanya.

 

RHB Research menjangkakan keuntungan bersih berulang Kelington meningkat dua digit bagi tahun 2026 hingga 2028, disokong oleh pertumbuhan tempahan dan projek baharu dalam sektor gas industri serta tenaga boleh diperbaharui.

 

“Dengan aliran keuntungan yang dijangka stabil dan pembayaran dividen konsisten, saham syarikat dilihat sebagai pelaburan menarik untuk pelabur jangka sederhana hingga panjang.

 

“Selain itu, kami berpandangan struktur perniagaan Kelington yang kukuh dan kepelbagaian projek baharu membolehkan syarikat mengurangkan risiko ketidakstabilan pasaran, termasuk gangguan geopolitik atau turun naik harga tenaga, sekali gus meningkatkan keyakinan pelabur terhadap pertumbuhan syarikat pada masa akan datang,” katanya. - DagangNews.com