Kekurangan bekalan minyak kacang soya global sokong harga minyak sawit mentah kekal RM4,400 — AmInvest | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kekurangan bekalan minyak kacang soya global sokong harga minyak sawit mentah kekal RM4,400 — AmInvest

Gambar: Naim Aziz / DagangNews.Com
Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 31 Mac — Kekurangan bekalan minyak kacang soya global, menjadi pemangkin utama kepada pengukuhan harga minyak sawit mentah (MSM) di Malaysia, menurut AmInvestment Bank.


Firma penyelidikan tersebut berkata, situasi berkenaan disebabkan faktor lonjakan mandat campuran biodiesel di pasaran Amerika Syarikat (AS) yang berpotensi mencetuskan ketidakseimbangan bekalan.  


Mandat baharu diumumkan Agensi Perlindungan Alam Sekitar (EPA) AS menetapkan keperluan campuran biofuel sebanyak 25.8 bilion gelen bagi 2026, meningkat 8% berbanding cadangan awal pada Jun 2025.


"Daripada jumlah itu, kuota biodiesel naik kepada 8.9 bilion gelen berbanding 5.6 bilion gelen sebelum ini, lebih tinggi berbanding 3.4 bilion gelen pada 2025," jelas AmInvest dalam nota analisis hari ini.


Peningkatan ketara ini dijangka memberi tekanan kepada bekalan minyak kacang soya, dengan keperluan mencecah 36.9 bilion paun, melebihi unjuran bekalan sebanyak 32 bilion paun bagi tempoh 2025/2026.


Kata firma tersebut, meskipun andaian lebih konservatif iaitu 75% pencapaian sasaran biodiesel, permintaan masih tinggi sekitar 27.5 bilion paun setahun, sekali gus menunjukkan potensi kekangan bekalan.


Perkembangan ini ujar AmInvest, mendorong harga minyak kacang soya AS melonjak 51.1% daripada paras terendah iaitu AS$0.45 (RM1.81) setiap paun pada April 2025 kepada AS$0.68 (RM2.73) pada Mac 2026.

 

minyak sawit mentah_DagangNews
Gambar: Naim Aziz / DagangNews.Com

 

"Sebaliknya, harga minyak kacang soya Argentina hanya meningkat 24.8%, menjadikan minyak kacang soya AS kini lebih mahal sebanyak AS$381 (kira-kira RM1,534) bagi setiap tan," tambah firma itu.


Tambahnya, isu kenaikan harga minyak kacang soya ini secara tidak langsung menyokong harga MSM, kerana kedua-duanya merupakan sumber minyak sayuran utama dalam pengeluaran biodiesel global.


Berdasarkan harga semasa, MSM didagangkan pada diskaun kira-kira 25% berbanding minyak kacang soya AS, namun sedikit premium sekitar AS$10 (RM40) setiap tan berbanding minyak kacang soya Argentina. 


Secara purata lima tahun, MSM kata AmInvest, berada pada diskaun 16.8% berbanding minyak kacang soya AS, dan dari sudut bekalan domestik, pengeluaran MSM Malaysia bagi Mac 2026 kekal mendatar.


"Situasi lebih lemah berbanding Februari disebabkan faktor bermusim sempena Hari Raya Aidilfitri, sebelum pulih mulai April atau Mei dan mencapai kemuncak sekitar Oktober hingga November," ujarnya.


Justeru firma penyelidikan tersebut mengekalkan unjuran harga purata MSM pada RM4,400 setiap tan dengan masih terus menetapkan penarafan 'overweight' ke atas sektor perladangan tempatan. 


AmInvest turut memberikan saranan beli terhadap SD Guthrie dengan harga sasaran (TP) RM7.26, Johor Plantations Group (RM2.08), Genting Plantations (RM6.07) dan Kim Loong Resources (RM3.00).


Namun, ia mengingatkan risiko utama adalah kemungkinan AS memberikan pengecualian kepada penapis minyak kecil daripada mematuhi mandat biodiesel, seperti pada 2023 hingga 2025. - DagangNews.com