Kekurangan bekalan cip memori berisiko jejaskan pertumbuhan Unisem, Inari – MBSB Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kekurangan bekalan cip memori berisiko jejaskan pertumbuhan Unisem, Inari – MBSB Research

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 29 Jan – Industri telefon pintar dijangka berdepan cabaran besar pada tahun 2026 dengan risiko utama berpunca daripada kekurangan cip memori yang semakin ketara akibat ledakan teknologi kecerdasan buatan (AI), kata MBSB Research.

 

Firma penyelidikan itu berkata walaupun penghantaran telefon pintar global pada suku ke-4 2025 meningkat 2.3% berbanding tahun sebelumnya, sektor ini dijangka menyusut sedikit antara -0.9% hingga -2.1% pada 2026.

 

“Kekurangan cip memori ini berlaku kerana pengeluar global seperti SK Hynix, Samsung Electronics dan Micron Technology lebih memfokuskan pengeluaran untuk kontrak AI, mengakibatkan bekalan untuk pasaran pengguna termasuk telefon pintar menjadi terhad.

 

“Segmen telefon pintar berharga rendah dijangka menanggung impak terbesar kerana kos komponen memori yang meningkat boleh menyebabkan harga telefon pintar meningkat,” kata MBSB dalam nota kajiannya.

 

Strategi menarik perhatian pembeli dengan menurunkan harga lebih rendah untuk merangsang permintaan kini dikatakan tidak lagi praktikal.

 

Sebaliknya, segmen telefon pintar premium atau flagship dijangka lebih tahan lasak. Apple dijangka memanfaatkan rantai bekalan yang kukuh dan produk bermargin tinggi untuk mengekalkan kestabilan, manakala Samsung boleh bergantung kepada pengeluaran cip memori dalaman untuk mengekalkan daya saing produk.

 

MBSB Research berkata Di Malaysia, syarikat OSAT (Outsourced Semiconductor Assembly and Test) tempatan mempunyai pendedahan berbeza terhadap pasaran telefon pintar. 

 

“Inari Amertron memperoleh 64% daripada hasilnya daripada peranti mudah alih, tetapi kerana kebanyakan pelanggannya membeli telefon premium, kekurangan cip memori dijangka tidak memberi kesan besar kepada syarikat.

 

“Unisem (M) Bhd pula mencatatkan 30% hasilnya daripada segmen komunikasi. Operasinya di Chengdu dijangka terus berkembang, tetapi operasi di Ipoh masih menimbulkan kebimbangan. 

 

“Posisi hutang bersih yang meningkat turut memberi cabaran tambahan apabila syarikat bersiap sedia untuk pertumbuhan masa depan,” katanya.

 

Oleh itu, MBSB Research menasihatkan pelabur untuk menjual saham Unisem dengan harga sasaran RM1.54 walaupun harga semasa saham itu ialah RM3.18.

 

“Malaysian Pacific Industries (MPI) pula mempunyai pendedahan lebih kecil kepada pasaran telefon pintar, iaitu sekitar 13% daripada jumlah hasil, menjadikan risiko impak kekurangan memori lebih terhad berbanding Inari dan Unisem.

 

“Sementara itu, D&O Green Technology pula tidak mempunyai pendedahan kepada pasaran telefon pintar dan hanya tertumpu kepada pasaran automotif, menjadikan syarikat ini kurang terjejas oleh isu bekalan cip memori,” katanya.

 

Pengeluar telefon pintar dicadangkan mengambil langkah seperti mengurangkan spesifikasi memori, fokus pada model sederhana dan premium, memperbaiki perisian supaya penggunaan memori lebih efisien dan membuat pesanan awal bagi komponen penting, kerana tahun 2026 dijangka mencabar bagi sektor telefon pintar. - DagangNews.com