KUALA LUMPUR 6 Jan - Pemegang saham terbesar MMAG Holdings Bhd, ahli perniagaan Datuk Seri Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak, telah melupuskan keseluruhan pegangan 19.9% beliau dalam syarikat itu pada harga premium yang tinggi, dan melepaskan jawatannya sebagai pengerusi.
Farhash, bekas setiausaha politik kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, menjual pegangan melibatkan 462 juta saham tersebut pada 31 Disember lalu pada harga 18.9 sen sesaham, atau berjumlah RM87.32 juta, menurut pemfailan di Bursa Malaysia pada Isnin.
Pada harga 18.9 sen sesaham, urus niaga blok berkenaan dilakukan pada harga lebih dua kali ganda berbanding harga penutupan saham MMAG pada 31 Disember iaitu tujuh sen.
Farhash muncul sebagai pemegang saham terbesar MMAG dengan pegangan 19.9% pada Mac 2025 dan seterusnya dilantik sebagai pengerusi syarikat.
Tiada harga transaksi didedahkan bagi pembelian saham tersebut, namun data luar pasaran Bloomberg menunjukkan sebanyak 462 juta saham telah diniagakan dalam empat tranche pada harga 40 sen sesaham, dengan nilai keseluruhan RM184.8 juta, menurut The Edge.
Sementara itu, MMAG dalam pemfailan berasingan pada Isnin memaklumkan bahawa Farhash telah meletakkan jawatan sebagai pengerusi bukan eksekutif berkuat kuasa 2 Januari bagi “mengejar komitmen peribadi”.
Kemunculan Farhash sebagai pemegang saham utama MMAG pada Mac 2025 berlaku sehari selepas NexG Bhd membeli 7.54% kepentingan dalam syarikat berkenaan.
Sebelum pelantikan Farhash, lembaga pengarah MMAG dipengerusikan oleh bekas Ketua Setiausaha Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohd Khairul Adib Abd Rahman.
Mohd Khairul Adib sebelum itu, pada bulan yang sama, muncul sebagai pemegang saham utama dalam NexG dan meletakkan jawatan sebagai pengerusi MMAG untuk “meneruskan kepentingan lain”.
Dari akhir Oktober hingga awal November 2025, saham MMAG menyaksikan kejatuhan mendadak — daripada 57 sen pada 29 Oktober kepada 8.5 sen pada 7 November. Kejatuhan itu mencetuskan pertanyaan aktiviti pasaran luar biasa (UMA) daripada pengawal selia bursa.
MMAG dalam maklum balasnya menyatakan bahawa syarikat tidak mengetahui sebarang kemungkinan penjelasan berhubung UMA tersebut. Sejak kejatuhan itu, harga saham MMAG masih belum menunjukkan pemulihan. - DagangNews.com








