Kejayaan RMK13 bergantung kepada KPI tegas, kata pakar ekonomi Matthew Barsing | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kejayaan RMK13 bergantung kepada KPI tegas, kata pakar ekonomi Matthew Barsing

Oleh TENGKU NOOR SHAMSIAH TENGKU ABDULLAH

KUALA LUMPUR 5 Ogos – Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang baharu diumumkan dipuji kerana visinya yang berpandangan jauh, namun ujian sebenar terletak pada pelaksanaannya, kata ahli ekonomi dan penulis, Matthew Barsing dalam satu wawancara eksklusif bersama DagangNews.

 

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membentangkan RMK13 di Parlimen pada 31 Julai 2025, yang digambarkan sebagai komitmen nasional untuk membina Malaysia MADANI yang mampan, inklusif dan berdaya tahan.

 

Rancangan lima tahun itu memberi tumpuan kepada enam teras utama: tadbir urus yang baik, penstrukturan semula ekonomi, keterangkuman sosial, keseimbangan wilayah, kelestarian alam sekitar dan pembaharuan institusi.

 

“Ini bukan sekadar pelan,” kata Anwar dalam ucapannya. “Ia adalah satu visi dan komitmen nasional ke arah membina Malaysia MADANI.”

 

Namun, Barsing memberi peringatan, walaupun hala tuju pelan tersebut dipuji, kejayaannya bergantung sepenuhnya kepada kemampuan kerajaan melaksanakannya.

 

“RMK13 ini bercita-cita tinggi, dengan tumpuan kepada digital, hijau dan keterangkuman,” kata Barsing.

 

“Cabaran utamanya adalah pelaksanaan: kita perlukan indeks prestasi utama (KPI) yang tegas dan unit pelaksanaan yang disokong politik. Jika dilaksanakan dengan segera, ia boleh merubah kedudukan Malaysia — tetapi itu satu ‘jika’ yang besar.”

 

Barsing adalah ahli ekonomi kelahiran Australia dan pemimpin perniagaan, telah menetap di Malaysia sejak 2001. Beliau merupakan Pengarah EPS Consultants, bekas ahli strategi pelaburan langsung asing (FDI) bersama kerajaan Malaysia, dan penulis buku Unleashing Malaysia’s Economic Potential. Beliau juga aktif dalam dasar perdagangan dua hala melalui Majlis Perniagaan Malaysia Australia (MABC).

 

Tenaga Hijau Peluang Paling Segera dan Boleh Diskalakan

Antara sektor yang dikenal pasti dalam pelan ini — teknologi digital, tenaga hijau dan perdagangan halal — Barsing melihat tenaga hijau sebagai peluang paling segera dan boleh diskalakan untuk Malaysia.

 

“Malaysia mempunyai tanah, bakat dan sumber untuk menjadi hab hijau serantau,” jelasnya. “Teknologi digital dan perdagangan halal juga menjanjikan, tetapi sektor hijau lebih mendesak dan boleh dikembangkan.”

 

Dalam hal fiskal, RMK13 mencadangkan penstrukturan semula subsidi menyeluruh dan penambahbaikan kewangan awam melalui bantuan bersasar serta penguatkuasaan terhadap ketirisan. Menurut Barsing, inilah kejelasan yang dicari oleh pelabur antarabangsa.

 

“Reformasi yang telus akan meningkatkan keyakinan — pelabur mahukan kewangan awam yang mampan,” katanya. “Komunikasi dan kestabilan politik adalah kunci untuk mengelak penolakan rakyat dan mengekalkan aliran modal masuk.”

 

Sesetengah pengkritik berpendapat bahawa penekanan kuat terhadap pengagihan semula dan ekuiti sosial mungkin melemahkan inovasi. Barsing tidak bersetuju.

 

“Langsung tidak. Inovasi sepatutnya mendorong keterangkuman,” katanya. “Teknologi boleh mendemokrasikan akses kepada kredit, kemahiran dan penjagaan kesihatan. Ekuiti dan kemajuan mesti seiring.”

 

Reformasi Institusi Mesti Diukur Secara Nyata

Barsing turut berkongsi satu set metrik yang jelas untuk memantau kemajuan dalam pembaharuan institusi dan usaha anti-rasuah:

  • Kadar pendakwaan dan sabitan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)

  • Kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) oleh Transparency International

  • Pelaksanaan reformasi perolehan dan pengisytiharan aset awam

  • Pengambilan kakitangan sektor awam berasaskan merit

  • Hasil kes perlindungan pemberi maklumat

 

“Impak sebenar ditunjukkan melalui hasil yang boleh diukur,” tegasnya.

 

Memandang ke hadapan, Barsing percaya Malaysia masih mempunyai daya tarikan unik kepada pelabur global — terutamanya jika RMK13 menepati janji yang dibuat.

 

“Kita menawarkan lokasi strategik, daya saing kos, tenaga kerja pelbagai bahasa dan kekuatan dalam sektor utama seperti E&E, tenaga hijau dan pasaran halal,” katanya.

 

“Jika reformasi berjaya, Malaysia akan menjadi pasaran seimbang — terbuka, stabil, inovatif dan inklusif.” - DagangNews.com