Kehadiran Bermaz Auto dalam pasaran kereta semakin lemah, CGS International semak turun unjuran hasil FY25 sebanyak 26% | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kehadiran Bermaz Auto dalam pasaran kereta semakin lemah, CGS International semak turun unjuran hasil FY25 sebanyak 26%

Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 4 Feb - Pengeluar kereta China kini menguasai sebahagian besar dalam pasaran menyebabkan Bermaz Auto Bhd (yang memasang kenderaan berjenama Mazda) mempunyai kehadiran dan jualan yang lemah, kata CGS International.

 


Walaupun selepas menambah jualan kenderaan elektrik daripada Xpeng dan Deepal, CGS International mengurangkan unjuran pendapatan Bermaz Auto sebanyak 26% daripada tahun kewangan berakhir 30 April 2025 (FY25) kepada FY27, berikutan persaingan yang sengit.

 


"Kami percaya penjualan kereta Mazda di Malaysia akan menghadapi persaingan yang mencabarkan dalam masa terdekat,” katanya dalam satu nota penyelidikan. 

 

Walaupun jualan kenderaan baharu di Malaysia meningkat sebanyak 2% pada 2024, jumlah jualan Mazda menguncup sebanyak 24%, menurut Persatuan Automotif Malaysia.

 

Sebaliknya, jenama China seperti Chery dan BYD menyaksikan pertumbuhan paling kukuh, bersama-sama menguasai 3.5% bahagian pasaran berbanding 1% pada 2023.

 

Mazda CX-5, model terlaris jenama itu di Malaysia, dijual pada julat harga RM145,000-RM195,000, sedikit lebih tinggi daripada kebanyakan model terlaris peserta baharu.


Saham Bermaz Auto telah merosot secara mendadak, turun lebih daripada 30% sejak Disember 2024, di tengah-tengah kebimbangan pelabur terhadap persaingan yang semakin meningkat.

 

Penganalisis kini menjadi kurang yakin pada saham Bermaz Auto, denan mengurangkan harga sasaran (TP) dalam beberapa minggu kebelakangan ini.

 

Kini terdapat lapan saranan "beli", enam "tahan" dan satu panggilan "jual" dalam kalangan syarikat penyelidikan, dengan TP konsensus jatuh lebih daripada 25% dari awal Disember kepada RM2.05, menurut Bloomberg.

 

Namun begitu, CGS International berpendapat jumlah jualan keseluruhan Bermaz Auto akan bertambah baik mulai Julai 2025, disokong oleh pelancaran Xpeng G9 baharu dan pengenalan tiga model kenderaan elektrik daripada Deepal.

 

"Bermaz Auto juga akan melancarkan Mazda CX60 baharu pada Mac hingga Jun 2025 dan CX-80 pada Julai hingga September 2025, manakala Xpeng G6, yang dilancarkan di Malaysia pada 2024, kini menjual kira-kira 120 unit sebulan.


"Kami mengurangkan TP sebanyak 80 sen kepada RM2.30, tetapi mengekalkan saranan "tambah". 

 

"Ini kerana kami menjangkakan pendapatan Bermaz Auto terutamanya dari FY26 dan seterusnya, disokong oleh lebih banyak barisan pengeluaran kereta baharu," katanya. - DagangNews.com