Kee Ming raih subkontrak kerja elektrik pusat data hiperskala di Elmina | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kee Ming raih subkontrak kerja elektrik pusat data hiperskala di Elmina

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 3 April - Kee Ming Electrical Sdn Bhd (KME), anak syarikat milik penuh Kee Ming Group Bhd, memperoleh kontrak subkontrak bernilai RM6.7 juta bagi kerja elektrik dan pentauliahan sebuah projek pusat data hiperskala di Elmina Business Park 1A.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, kumpulan itu berkata surat penganugerahan (LOA) tersebut diterima pada 3 April 2026 daripada kontraktor pihak ketiga yang terlibat dalam penyelesaian mekanikal dan elektrikal (M&E) bersepadu, khususnya dalam infrastruktur pusat data.

 

Menurutnya, skop kerja melibatkan kerja kemasan dalaman, pembekalan dan pemasangan sistem elektrik serta kerja pengujian dan pentauliahan bagi dewan pusat data 1 dan 3, termasuk aspek logistik projek.

 

“Kontrak ini diberikan secara jumlah tetap sebanyak RM6.7 juta, merangkumi kos tenaga kerja, operasi tapak serta kerja sokongan yang diperlukan untuk pelaksanaan projek,” katanya.

 

Kerja subkontrak tersebut dijangka siap sepenuhnya menjelang 31 Disember 2026, selaras dengan jadual pembinaan yang ditetapkan.

 

Sebagai sebahagian daripada keperluan kontrak, KME perlu mengemukakan pelan pelaksanaan projek serta jadual pembinaan dalam tempoh 14 hari dari tarikh penerimaan LOA, selain menyediakan bon prestasi bernilai RM670,000 atau 10% daripada nilai kontrak.

 

Kee Ming berkata kontrak itu dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan dan aset bersih kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2027.

 

Bagaimanapun, kumpulan itu mengakui terdapat beberapa risiko termasuk kelewatan projek, lebihan kos serta cabaran pelaksanaan dan perubahan persekitaran ekonomi.

 

“Namun, dengan pengalaman dan kepakaran sedia ada, kami yakin risiko ini dapat diuruskan dengan berkesan melalui kawalan dalaman dan pemantauan projek yang rapi,” katanya. - DagangNews.com