KUALA LUMPUR 14 April - Kedatangan penumpang penerbangan daripada Timur Tengah diunjurkan menyusut sebanyak 1.5 juta orang pada 2026 kesan daripada krisis geopolitik yang melanda dunia hari ini.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata meskipun pergerakan pengangkutan laut dan darat masih relatif stabil, sektor penerbangan dan pelancongan sudah menunjukkan tanda tekanan.
"Sebanyak 55 penerbangan mingguan melibatkan enam syarikat penerbangan telah dibatalkan bagi tempoh 23 hingga 28 Mac 2026, dan ketibaan pelancong bagi 1 hingga 25 Mac menunjukkan penurunan, dengan unjuran penyusutan penumpang penerbangan dari Asia Barat sebanyak 1.5 juta orang bagi tahun 2026," katanya.
Beliau berkata demikian dalam taklimat mingguan Krisis Tenaga Global hari ini.
Akmal berkata, dalam pasaran buruh pula, impak yang lebih nyata dijangka muncul pada suku kedua 2026 iaitu bermula Jun 2026 sekiranya konflik berlarutan, yang mana jumlah kehilangan pekerjaan keseluruhan menurun dari Januari ke minggu pertama April.
"Ini menunjukkan bahawa krisis ini mempunyai lag effect (kesan tertunda): hari ini kita nampak tekanan kos, beberapa minggu atau bulan kemudian baru kita nampak tekanan terhadap pekerjaan dan pendapatan.
"Maka dengan itu, kerajaan melalui MTEN sedang meneliti mitigasi sesuai untuk mengurangkan keresahan rakyat dalam isu ini," katanya.
Akmal berkata, kementeriannya sedang memantau 107 indikator terpilih, termasuk 61 indikator berfrekuensi tinggi memastikan momentum pertumbuhan ekonomi negara tidak terganggu secara berlebihan oleh faktor luaran.
Jelasnya, semua sektor terkesan pada tahap yang berbeza dan sektor isi rumah antara yang paling sensitif kerana kenaikan harga bahan api memberi kesan terus kepada perbelanjaan harian.
"Mesej kita kepada rakyat perlu seimbang. Asas ekonomi negara masih kukuh, tetapi risiko luaran sedang meningkat. Kita tidak boleh terlalu selesa, dan kita juga tidak boleh terlalu gelisah.
"Tekanan sudah mula muncul, tetapi belum menjadi gangguan menyeluruh kepada ekonomi domestik," katanya,
Sementara itu Akmal berkata, MTEN pada hari ini pada dasarnya telah bersetuju biodiesel menjadi salah satu sumber biobahan api alternatif dan pilihan yang paling praktikal dan paling sedia untuk dilaksanakan dalam tempoh yang terdekat.
Katanya, kerajaan perlu memilih langkah yang boleh digerakkan segera, memberi kesan langsung dan berpaksikan keupayaan domestik sedia ada.
"Biodiesel memenuhi keperluan tersebut kerana ia merupakan sumber tenaga alternatif yang boleh membantu mengurangkan kebergantungan kepada bahan api fosil sedia ada yang semakin tidak menentu," katanya. - DagangNews.com








