KUALA LUMPUR 30 Mac - Pengukuhan keselamatan makanan negara memerlukan usaha bersepadu termasuk meningkatkan produktiviti pertanian, mempercepat penggunaan teknologi serta menangani ketidakcekapan dalam rantaian bekalan, kata Hong Leong Investment Bank (HLIB).
Menurut firma penyelidikan itu, walaupun pengeluaran domestik dan import masih berjaya mengekalkan kestabilan bekalan makanan buat masa ini, kebergantungan kepada sumber luar bagi bahan makanan ruji, khususnya beras, kekal sebagai kelemahan utama yang mendedahkan negara kepada kejutan luaran.
“Penyelesaian lebih mampan perlu dilaksanakan bagi menangani kekurangan asas ini, termasuk memperkukuh kapasiti pengeluaran tempatan dan mengurangkan kebergantungan kepada import,” katanya dalam nota kajian.
HLIB turut mengenal pasti beberapa syarikat yang berpotensi mendapat manfaat daripada usaha transformasi sektor ini, antaranya QL Resources Bhd, Leong Hup International Bhd dan Yenher Holdings Bhd, susulan pendedahan syarikat itu kepada pertanian bersepadu, inovasi makanan ternakan serta penyelesaian berasaskan teknologi.
Dalam pada itu, ketegangan geopolitik berterusan di Timur Tengah, perubahan cuaca yang tidak menentu serta kelembapan ekonomi global terus memberi tekanan kepada bekalan dan kemampuan makanan di peringkat dunia.
HLIB berkata, gangguan rantaian bekalan akibat konflik serta turun naik pengeluaran yang dipacu perubahan iklim berlaku seiring dengan penyusutan kuasa beli di banyak negara membangun, sekali gus memburukkan lagi prospek keselamatan makanan global.
"Di peringkat domestik, Malaysia masih mempunyai kelebihan dalam pengeluaran protein seperti ayam, namun kebergantungan kepada import bahan ruji menimbulkan risiko kepada kestabilan bekalan dalam jangka panjang," katanya.
Sebagai langkah mitigasi, kerajaan telah memperkenalkan dasar jangka panjang seperti Dasar Agromakanan Negara 2021–2030 (NAP 2.0) dan Dasar Sekuriti Makanan Negara 2030 (NFSP 2030) bagi memodenkan sektor serta meningkatkan pengeluaran tempatan.
Namun begitu, pelaksanaan dasar tersebut dilihat berdepan cabaran memandangkan lebih 97% petani di negara ini terdiri daripada pengusaha berskala kecil dengan kekangan dari segi kewangan dan keupayaan teknikal.
Selain isu bekalan, HLIB turut menyorot peningkatan masalah kesihatan berkaitan diet seperti obesiti dan diabetes, yang menunjukkan cabaran keselamatan makanan turut melibatkan aspek kualiti pemakanan.
Sehubungan itu, HLIB mencadangkan pendekatan seperti platform perkongsian peralatan serta struktur pembiayaan campuran bagi membantu pengusaha kecil mengadaptasi teknologi pertanian moden dan kaedah tahan perubahan iklim.
Langkah tersebut bukan sahaja berpotensi meningkatkan produktiviti, malah dapat mengurangkan kerugian selepas tuaian serta pembaziran makanan dalam rantaian bekalan negara. - DagangNews.com








