KDNK 3Q2025 Malaysia dijangka 5.1%, prospek ekonomi kekal berisiko - Ambank Economics | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

KDNK 3Q2025 Malaysia dijangka 5.1%, prospek ekonomi kekal berisiko - Ambank Economics

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 12 Nov – AmBank Economics menjangkakan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia bagi suku ketiga 2025 (3Q2025) akan berada pada 5.1%, sedikit rendah berbanding anggaran awal Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) iaitu 5.2%. 

 

Data rasmi dijangka dikeluarkan Jumaat ini, dengan pertumbuhan suku berkenaan disokong oleh penghantaran eksport awal, perbelanjaan isi rumah yang mantap, pasaran buruh yang sihat dan peningkatan ketibaan pelancong.

 

Ambank berkata, sekiranya jangkaan itu menjadi kenyataan, pertumbuhan Malaysia bagi sembilan bulan pertama 2025 diramal mencapai 4.6%, selari dengan julat ramalan rasmi keseluruhan tahun iaitu 4% hingga 4.8%.

 

“Ekonomi Malaysia terus menunjukkan daya tahan walaupun menghadapi cabaran luaran, disokong oleh perbelanjaan swasta yang kukuh dan kadar pengangguran rendah, kekal pada 3% setakat September 2025. 

 

“Jumlah pelancong asing meningkat kepada 17.8 juta dalam tempoh lapan bulan pertama 2025, berbanding 16.5 juta pada tempoh sama tahun sebelumnya, mencatat kenaikan lebih 8%.

 

“Dari segi bekalan, pertumbuhan KDNK 3Q2025 disokong oleh sektor perkhidmatan yang dijangka berkembang 5% tahun ke tahun, manakala output perkilangan dijangka meningkat 4% berbanding 3.7% pada 2Q2025, terutamanya disokong oleh segmen berorientasikan eksport seperti elektronik dan produk elektrik,” kata firma penyelidikan itu.

 

Sektor perlombongan dan kuari dijangka mengalami pemulihan mendadak dengan pertumbuhan 10.4% berbanding penurunan 5.2% pada suku sebelumnya.

 

Berdasarkan prestasi suku ketiga, AmBank Economics juga menaikkan ramalan pertumbuhan KDNK Malaysia bagi 2025 kepada 4.5% daripada 3.9% sebelumnya. 

 

“Peningkatan ini turut dipacu oleh sokongan fiskal tambahan, termasuk pembayaran RM100 melalui Sumbangan Asas Rahmah (SARA) pada 31 Oktober, serta pelaburan yang kukuh, sektor pelancongan yang bertenaga, pasaran buruh yang menggalakkan, dan sokongan melalui skim Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan SARA.

 

“Bagaimanapun, penghantaran eksport awal dijangka mula berkurangan dan eksport akan kembali normal pada 4Q2025, susulan penurunan pesanan baharu seperti yang dilaporkan dalam Indeks Pengurus Pembelian (PMI) Perkilangan Malaysia bagi bulan Oktober, yang mungkin memberi tekanan ke bawah terhadap pertumbuhan,” katanya.

 

Bagi tahun 2026, pertumbuhan ekonomi dijangka sedikit lebih perlahan pada 4.2%, dengan kesan tarif Amerika Syarikat yang lebih tinggi dijangka mula dirasai dalam beberapa suku akan datang. - DagangNews.com