KUALA LUMPUR 5 Nov - Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah membuka tender bagi membekal 4 buah kenderaan pemusnah bahan letupan (EOD) kawalan jauh (ROV).
Kenderaan ini bagi kegunaan Unit Pemusnah Bom (UPB) Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Menurut laman web pertahanan Malaysian Defence, tawaran tersebut dibuat oleh Bahagian Perolehan KDN kepada syarikat yang berkelayakan.
Berdasarkan spesifikasi diberi, tender ini bagi mendapatkan ROV jenis kecil dengan berat kira-kira 200 kilogram (kg).
Komponen utama ROV seperti flipper, lengan mekanikal dan turet hendaklah boleh ditanggalkan tanpa menggunakan alatan khas untuk memudahkan operasi dan pengangkutan.
ROV juga mesti boleh melepasi halangan pada ketinggian minimum 400 milimeter (mm) dan boleh dipandu di atas jurang atau parit dengan lebar tidak melebihi 500mm.
Muatan maksimum pada ROV adalah tidak melebihi 70kg serta boleh menaiki dan menuruni tangga dan cerun pada kecondongan kurang daripada 45°.
Kenderaan ROV ini juga hendaklah menepati spesifikasi ketenteraan.
Anggaran kos bagi 4 kenderaan EOD itu ialah RM10 juta, bermakna harga setiap unit adalah kira-kira RM2.5 juta setiap satu.
Ini termasuk kos kenderaan bersama peralatan dan latihan untuk 15 petugas.
UPB merupakan salah satu unit khas dalam PDRM yang diletakkan di bawah Cawangan Persenjataan, Bukit Aman.
Ketika ini unit berkenaan mengendalikan pelbagai jenis kenderaan EOD secara kawalan jauh bagi tindakan memusnah dan melupuskan bahan letupan.
Antaranya termasuklah kenderaan Dok-Ing MVF-5 U3 buatan Croatia untuk kerja EOD dan dalam persekitaran kimia, biologi, radiologi, nuklear dan bahan letupan (CBRNE).
Dok-Ing MVF-5 U3 dengan rekabentuk seperti sebuah kereta kebal kecil merupakan kenderaan robotik kawalan jauh terbesar yang dioperasikan UPB.
Kenderaan ini dilengkapi penggenggam berputar, bilah jentolak, pemegang hidraulik dengan keupayaan memadam kebakaran dan mampu menyokong operasi menyelamat dan tugas HAZMAT.
PDRM membeli kenderaan EOD ini 6 tahun lalu untuk diguna khusus dalam menghadapi ancaman bom yang ekstrem, misalnya jika ada bahan letupan dipasang di bawah kenderaan serta perlu dialihkan.
Selain PDRM, kenderaan Dok-Ing MVF-5 U3 juga boleh digunakan untuk membantu pihak tentera dalam operasi serupa. - DagangNews.com