Kapasiti tenaga Bintulu capai 1GW menjelang 2035 – Premier Sarawak | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kapasiti tenaga Bintulu capai 1GW menjelang 2035 – Premier Sarawak

Loji Janakuasa Turbin Gas Kitaran Gabungan Tanjung Kidurong yang kini sedang dalam pembinaan. - Gambar Sarawak Energy

KUALA LUMPUR 23 Julai – Sarawak bakal membangunkan dua loji janakuasa berasaskan gas dengan kapasiti 500 megawatt setiap satu, yang akan meningkatkan jumlah kapasiti penjanaan tenaga di Bintulu kepada satu gigawatt menjelang tahun 2035.

 

Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata inisiatif ini bukan sahaja untuk memenuhi keperluan penduduk tempatan, malah untuk menampung permintaan pelabur, terutamanya dalam sektor perindustrian dan teknologi hijau yang pesat berkembang di Bintulu.

 

“Pelan pembangunan menyeluruh ini turut merangkumi pembinaan sebuah sekolah antarabangsa di Bintulu bagi menarik tenaga profesional dan pelabur asing untuk tinggal dan menetap di sini,” katanya semasa merasmikan sebuah hotel di Bintulu hari ini.

 

Model Pelaburan Pacu Pertumbuhan

Abang Johari turut mengenang kembali sejarah pembangunan Bintulu yang bermula dengan penemuan gas asli dan pelaburan dalam industri gas asli cecair (LNG), yang seterusnya merangsang pembinaan pelabuhan serta kemudahan asas lain seperti hotel dan penginapan untuk pemain industri.

 

Katanya, model pembangunan berasaskan pelaburan ini telah berjaya menjadikan Bintulu sebagai hab pertumbuhan baharu, yang kini bukan sahaja meliputi kawasan Kidurong, malah turut berkembang ke Samalaju.

 

“Pembangunan pesat ini memerlukan penyediaan kemudahan yang selesa termasuk hotel bertaraf antarabangsa bagi memenuhi keperluan pelancong, delegasi dan pelabur,” jelas beliau.

 

ART Berkuasa Hidrogen Sokong Pertumbuhan Mapan

Bagi menyokong pertumbuhan ekonomi Bintulu, sistem Transit Rel Autonomi (ART) berteknologi tinggi yang menggunakan kuasa hidrogen akan dilaksanakan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13, menghubungkan tiga lokasi strategik iaitu Bintulu, Kidurong dan Samalaju.

 

Beliau berkata Bintulu akan menjadi bandar kedua selepas Kuching yang mempunyai sistem ART ini, sekali gus meningkatkan tahap kebolehcapaian, memudahkan pergerakan dan menggalakkan pembangunan mampan.

 

Pengiktirafan Global untuk Bintulu

“Seperti yang saya nyatakan di Miri baru-baru ini, Bintulu kini diiktiraf sebagai salah satu daripada 36 kluster industri rendah karbon di dunia. Ini membuktikan bahawa Bintulu telah menjadi tumpuan utama di peringkat global,” ujar beliau lagi. - BERNAMA