Kaneka Malaysia mulakan pembinaan loji stim biojisim RM31 juta di Gebeng | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kaneka Malaysia mulakan pembinaan loji stim biojisim RM31 juta di Gebeng

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 12 Sept – Sebuah loji stim biojisim bernilai RM31 juta akan dibina di kompleks perindustrian Kaneka (Malaysia) Sdn Bhd di Gebeng, Pahang, dalam satu langkah strategik menyokong agenda tenaga boleh diperbaharui dan pelepasan sifar karbon negara.

 

Projek ini diterajui oleh BAC Renewable Energy Sdn Bhd (BACRE) melalui anak syarikatnya BACRE Gebeng Sdn Bhd, dan dibangunkan di bawah perjanjian pembekalan dan pembelian stim selama 20 tahun bersama Kaneka Malaysia selaku pembeli utama.

 

Apabila siap, loji berkenaan akan membekalkan sehingga 30 tan sejam (TPH) stim yang dijana daripada biojisim kepada Kaneka Malaysia, menggantikan penggunaan sistem gas asli.

 

Kaneka Malaysia menyasarkan pengurangan 70% pelepasan gas rumah hijau menjelang 2030, selaras dengan matlamat sifar bersih karbon menjelang 2050 yang ditetapkan oleh syarikat induk dari Jepun, Kaneka Corporation.

 

Loji ini akan dibina di atas tanah seluas 3.4 ekar dan dijadual memulakan operasi pada suku ketiga 2026.

 

Kerjasama Strategik Pelbagai Sektor

 

Projek ini dilaksanakan melalui kerjasama antara pelbagai pihak industry iaitu BACRE Gebeng sebagai pemilik dan pengendali loji, Knight Frank Project Services Sdn Bhd sebagai kontraktor reka dan bina dan Boilermech Sdn Bhd selaku penyedia teknologi dandang.

 

Bank Islam Malaysia Bhd pula sebagai penyedia pembiayaan dan Emnes Metal Sdn Bhd sebagai rakan strategik.

 

Loji ini akan menggunakan sumber biojisim berasaskan sawit seperti janjang kosong, tempurung isirung sawit dan serpihan kayu, dan dilengkapi sistem kecekapan terma tinggi, kawalan pelepasan emisi ketat serta pengurusan abu automatik.

 

Impak Alam Sekitar Ketara

 

Loji ini dijangka mampu mengelakkan pelepasan 24,240 tan karbon dioksida setiap tahun, serta 70,032 tan metana dalam tempoh 10 tahun, yang lazimnya dilepaskan akibat pereputan sisa pertanian.

 

Pengarah Eksekutif Kanan Knight Frank Malaysia, Teh Young Khean berkata, loji itu mencerminkan bagaimana inovasi dalam pengurusan projek dan kerjasama rentas industri mampu menyokong matlamat kelestarian Malaysia secara praktikal dan berimpak.

 

Pengarah BACRE, Hasnoel Ramly pula berkata, projek itu bukan sahaja membekalkan tenaga bersih kepada Kaneka, tetapi turut menjadi sebahagian daripada strategi jangka panjang BACRE dalam membangunkan ekosistem biofuel serantau, termasuk cadangan hab penyimpanan dan eksport BioLNG di Pelabuhan Tanjung Langsat.

 

Pengarah Urusan Kaneka Malaysia, Hiroyuki Nishimoto turut menyifatkan projek ini sebagai satu pencapaian penting yang mencerminkan komitmen Kaneka terhadap kelestarian dan inovasi — serta loji stim biojisim pertama Kaneka Corporation di luar Jepun.

 

Projek ini juga menyokong pelaksanaan Peta Hala Tuju Tenaga Boleh Diperbaharui Negara (MyRER) dan Peta Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), serta menyumbang ke arah pengembangan ekonomi kitaran berasaskan sisa pertanian. - DagangNews.com