KUALA LUMPUR 18 Nov – Kementerian Pengangkutan telah memulakan kajian kebolehlaksanaan bagi menilai pembangunan projek mega Trans Borneo Railway, satu rangkaian rel rentas sempadan yang berpotensi menghubungkan Sabah, Sarawak, Brunei dan Kalimantan, Indonesia, menurut Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.
Kajian yang bermula pada Jun lalu dijangka siap menjelang pertengahan tahun hadapan, katanya dalam jawapan bertulis di Parlimen kepada Yusuf Abd Wahab (GPS–Tanjong Manis).
Menurut Loke, perunding yang dilantik sedang menjalankan sesi libat urus menyeluruh dengan kementerian persekutuan, kerajaan negeri, agensi berkaitan serta pemain industri tempatan bagi mendapatkan pandangan awal serta menilai kapasiti pasaran domestik.
“Sesi libat urus bersama kerajaan Brunei dan Indonesia juga akan dilaksanakan bagi memastikan keselarasan dengan perancangan pembangunan rentas sempadan,” katanya.
Loke memaklumkan, kerajaan akan menilai cadangan projek berdasarkan dapatan kajian, meliputi aspek teknikal, manfaat sosioekonomi, keperluan kos serta kemampuan kewangan jangka panjang negara.
Trans Borneo Railway sebelum ini pernah dianggarkan bernilai AS$70 bilion (RM330 bilion) oleh Brunergy Utama Sdn Bhd pada April tahun lalu, melibatkan pembinaan rel sepanjang lebih 1,600 kilometer dan tren berkelajuan sehingga 350km/j.
Namun, Loke sebelum ini menegaskan dakwaan syarikat berpusat di Brunei itu tidak sahih, memaklumkan projek tersebut kekal sebagai cadangan dan belum diberikan kepada mana-mana syarikat.
“Sebarang projek mega hanya dianggap sah sekiranya diumumkan secara rasmi oleh kerajaan,” katanya.
Trans Borneo Railway mula dicadangkan pada tahun 2015 oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kepada Presiden Indonesia ketika itu, Joko Widodo, bagi memudahkan pergerakan manusia, barangan dan perkhidmatan antara Malaysia, Brunei dan Indonesia. - DagangNews.com








