KAF Investment Bank didenda RM1.025 juta oleh BNM kerana langgar dasar pertukaran mata wang asing | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

KAF Investment Bank didenda RM1.025 juta oleh BNM kerana langgar dasar pertukaran mata wang asing

Oleh Muhammad Iman

KUALA LUMPUR 26 Feb - Bank Negara Malaysia (BNM) mengenakan kompaun berjumlah RM1.025 juta terhadap KAF Investment Bank Bhd atas pelanggaran keperluan di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 (FSA).

 

Susulan pengesanan pelanggaran itu, KAF Investment Bank melaksanakan langkah pembetulan termasuk memperkenalkan dasar dan prosedur dalaman bagi memastikan pematuhan terhadap keperluan Dasar Pertukaran Asing (FEP).

 

Bank berkenaan telah menjelaskan bayaran kompaun itu pada 29 Januari 2026.

 

 

 

 

 

 

Penalti tersebut berpunca daripada kegagalan KAF Investment Bank mematuhi arahan yang dikeluarkan di bawah Seksyen 214(6) FSA, yang mewajibkan institusi kewangan mewujudkan serta melaksanakan kawalan dan prosedur dalaman bagi memastikan pematuhan terhadap Notis FEP yang dikeluarkan BNM.

 

Menurut kenyataan BNM, KAF Investment Bank gagal mendapatkan kelulusan bank pusat sebelum melaksanakan transaksi melibatkan aset mata wang asing oleh individu pemastautin yang mempunyai pinjaman ringgit domestik melebihi had dibenarkan, sekali gus melanggar Seksyen 214(9) FSA.

 

Dalam menentukan jumlah kompaun, BNM memaklumkan bahawa faktor pemberat dan peringan telah dipertimbangkan, termasuk:

  • ketiadaan kawalan dan prosedur mencukupi bagi memastikan pematuhan terhadap Notis FEP,

  • rekod pematuhan terdahulu bank berkenaan,

  • tindakan susulan selepas salah laku

  • keberkesanan langkah pembetulan bagi mengelakkan ketidakpatuhan berulang.

 

 

 

 

 

 

 

BNM berkata tindakan penguatkuasaan itu diambil selaras dengan dokumen Pendekatan Penguatkuasaan yang diterbitkannya.

 

"Institusi kewangan dan orang awam perlu memastikan pematuhan sepenuhnya terhadap keperluan FEP apabila menjalankan transaksi pertukaran asing, termasuk mendapatkan kelulusan bertulis daripada BNM sekiranya diperlukan," menurut bank pusat tersebut. - DagangNews.com