KUALA LUMPUR 15 Okt - Kabinet akan membincangkan insiden tragik membabitkan kes tikaman pelajar baru-baru ini serta penggunaan media sosial dalam kalangan kanak-kanak dan remaja, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata beliau akan membawa perkara itu ke mesyuarat Kabinet sama ada hari ini (15 Oktober) atau esok untuk membincangkan isu keselamatan dan disiplin di sekolah, termasuk penggunaan telefon pintar dalam kalangan murid sekolah.
“Kita akan adakan mesyuarat untuk memutuskan tindakan yang lebih tegas. Akan ada reaksi terhadap perkara ini, tetapi ia kembali kepada isu penggunaan media sosial,” katanya secara ringkas kepada media di lobi Kementerian Kewangan Putrajaya hari ini
Anwar berkata kerajaan perlu mempertimbangkan isu ini secara menyeluruh dan memberi tumpuan kepada tindakan berkenaan penggunaan telefon pintar dan aplikasi media sosial, khususnya dalam kalangan kanak-kanak dan remaja.
Beliau mengulas mengenai insiden tikaman maut melibatkan seorang pelajar Tingkatan Empat di sebuah sekolah di Bandar Utama pada Selasa 14 Oktober.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail, berkata kejadian berlaku sekitar jam 9.30 pagi, dan seorang pelajar lelaki berusia 14 tahun telah ditahan bagi membantu siasatan kes tersebut. - DagangNews.com








