Jumlah penjimatan RM5 bilion daripada penyesuaian subsidi bahan api mungkin lebih rendah kerana perubahan tingkah laku - TA Securities | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Jumlah penjimatan RM5 bilion daripada penyesuaian subsidi bahan api mungkin lebih rendah kerana perubahan tingkah laku - TA Securities

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 27 Mac - TA Securities menjangkakan penyesuaian subsidi bahan api mampu menghasilkan penjimatan fiskal kasar kira-kira RM5 bilion setahun.

 

Bagaimanapun, firma penyelidikan itu menegaskan, jumlah penjimatan sebenar mungkin lebih rendah disebabkan perubahan tingkah laku seperti pengurangan penggunaan bahan api.

 

“Perubahan tingkah laku ini termasuk seperti isi rumah mengehadkan perjalanan, mengoptimumkan penggunaan bahan api, atau mengamalkan susunan kerja fleksibel seperti yang digalakkan oleh kerajaan.

 

"Ini akan mengurangkan penggunaan berlebihan dan seterusnya jumlah yang tertakluk kepada harga pasaran,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

TA securities berkata, penyesuaian subsidi bahan api dijangka menyokong usaha pemulihan fiskal yang berterusan, dengan defisit fiskal Malaysia dijangka berada pada 3.6% pada 2026.

 

Selain menjana penjimatan fiskal, ia juga dijangka menghadkan gangguan ekonomi yang lebih meluas.

 

Dasar ini, yang berkuat kuasa pada 1 April, merupakan sebahagian daripada penalaan semula subsidi tenaga yang lebih luas ketika pihak berkuasa bertindak balas terhadap harga minyak global yang tinggi dan beban subsidi yang meningkat.

 

Harga runcit bagi bahan api tanpa subsidi telah meningkat dengan ketara, dengan diesel di Semenanjung Malaysia naik 80 sen kepada RM5.52 seliter, RON97 naik 60 sen kepada RM5.15, dan RON95 tanpa subsidi juga meningkat 60 sen kepada RM3.87 untuk tempoh 26 Mac hingga 1 April 2026.

 

Dari segi impak ekonomi, TA Securities menjangkakan kesan terhadap KDNK adalah minimum. 

 

Unjuran KDNK 2026 kekal antara 4.3% hingga 4.7%, sambil perbelanjaan swasta yang menyumbang kira-kira 60% KDNK mungkin sedikit terjejas, terutamanya di kalangan isi rumah berpendapatan sederhana hingga tinggi serta pengguna bandar.

 

Bagi inflasi, impak penyesuaian kuota bersifat terkawal, memandangkan dasar menumpukan pada had kuantiti dan bukan kenaikan harga secara langsung.

 

Namun, risiko inflasi kekal tinggi jika harga minyak global tidak menentu. Setiap kenaikan US$10 dalam harga minyak Brent dijangka menambah kira-kira 0.3 mata peratus kepada Indeks Harga Pengguna Malaysia.

 

Dalam senario asas Brent purata US$80–US$90 setong, inflasi dijangka 2.1%–2.3% pada 2026. 

 

Sekiranya harga meningkat kepada AS$100–AS$150 setong, inflasi boleh mencecah 3.9%. Subsidi kerajaan pula dianggarkan RM3 bilion sebulan pada Brent AS$90 setong, dan boleh meningkat kepada RM4 bilion pada AS$100 setong.

 

TA Securities menegaskan reformasi subsidi ini adalah langkah berhati-hati, mengimbangi disiplin fiskal dengan kesan ekonomi yang terkawal, sambil mengekalkan sokongan untuk sektor utama melalui pengecualian yang disasarkan. - DagangNews.com