KUALA LUMPUR 19 Nov – Sektor automotif Malaysia mencatatkan jumlah jualan industri (TIV) tertinggi setakat tahun ini selepas meningkat 30 peratus kepada 75,992 unit pada Oktober 2025 berbanding 58,490 unit pada September, menurut Persatuan Automotif Malaysia (MAA).
MAA berkata, kenaikan TIV bulan lalu terutamanya didorong oleh pembelian pantas kenderaan elektrik berkuasa bateri (BEV) yang diimport sepenuhnya (CBU).
Situasi itu susulan pengumuman Belanjawan 2026 mengenai tamatnya pengecualian cukai bagi CBU BEV pada hujung Disember tahun ini.
“Pertumbuhan jualan juga disokong oleh kempen promosi hujung tahun yang agresif oleh syarikat automotif.
“Namun, jumlah TIV setakat tahun ini mencatat 655,328 unit, berkurangan dua peratus berbanding 666,905 unit pada tempoh yang sama tahun lepas.
“Dari segi perbandingan tahun ke tahun (YoY), TIV Oktober 2025 meningkat tujuh peratus iaitu 75,992 unit terdiri daripada 70,321 kenderaan penumpang dan 5,671 kenderaan komersial, berbanding 71,022 unit pada Oktober 2024,” kata MAA dalam satu kenyataan.
Bagi pengeluaran pula, sebanyak 65,226 unit dihasilkan, termasuk 61,192 kenderaan penumpang dan 4,034 kenderaan komersial, berbanding 71,878 unit pada tempoh yang sama tahun sebelumnya.
MAA menjangkakan momentum jualan yang kukuh pada Oktober akan berterusan pada November 2025, didorong oleh permintaan kenderaan elektrik dan kempen promosi hujung tahun. - BERNAMA








