KUALA LUMPUR 5 Feb – Jualan tiga bidang tanah seluas 55 hektar di IOI Industrial Park @ Banting kepada Bridge Data Centres oleh IOI Properties Group Berhad berpotensi menjana margin kasar kira-kira 60%.
Pelupusan itu sekali gus mendorong TA Securities menaikkan unjuran keuntungan bagi FY27 kumpulan sebanyak 42%, dan menjadikannya lonjakan untung satu kali paling besar dari aset industri syarikat.
Transaksi yang bernilai RM740.7 juta dan dimeterai rasmi pada 29 Januari 2026 itu, jelas firma penyelidikan tersebut, mewakili kira-kira 42% daripada keseluruhan 130 hektar taman perindustrian berkenaan.
"Urus niaga ini mencatatkan penjualan tanah untuk projek pembangunan pusat data (DC) terbesar di Malaysia berdasarkan nilai yang didedahkan secara terbuka," katanya dalam nota analisis hari ini.
Harga tersirat kira-kira RM125 sekaki persegi (psf) jelas TA Securities, melebihi harga permintaan tanah industri setempat iaitu RM50 psf dan harga indikatif IOI Properties sendiri hanya RM95 psf.
Keadaan tersebut tambahnya, mencerminkan status premium yang disokong oleh infrastruktur lengkap, sambungan lebuh raya baik, dan bekalan tenaga tinggi untuk penggunaan DC model berskala besar.
Artikel berkaitan: IOI Properties jual 55 hektar tanah industri bernilai RM740 juta di Banting kepada Bridge Data Centres
Menurut firma penyelidikan itu, kos keseluruhan pembangunan tanah tersebut dianggarkan RM50 psf, termasuk nilai semasa tanah sebanyak RM2 psf dan pembinaan infrastruktur pula kira-kira RM24 psf.
"Selepas ditolak cukai korporat 24%, untung bersih dianggarkan RM338 juta, dengan pengiktirafan hasil dijangka dalam masa 9 hingga 12 bulan bergantung tarikh siap transaksi," kata TA Securities.
Pengurusan IOI Properties menegaskan bahawa penjualan ini bukan pelupusan secara penuh, kerana baki 75 hektar tanah di Banting itu masih tersedia untuk pembangunan lanjut atau jualan tambahan.
Syarikat pemaju hartanah berkenaan jelasnya, turut merancang pembangunan kira-kira 46,452 meter persegi logistik dan gudang di Banting serta IOI Industrial Park @ Iskandar Malaysia, di Johor.
Sementara projek IOI Industrial Park @ Melaka (101 hektar) masih sedang menunggu kelulusan, manakala IOI Industrial Park @ Iskandar Malaysia (445 hektar) menawarkan pertumbuhan jangka panjang.
"Kami mengekalkan saranan 'beli' namun harga sasaran (TP) sesaham dinaikkan kepada RM3.94 daripada RM2.78, selari dengan realisasi nilai dari jualan tanah DC pertama berskala besar ini," kata firma itu.
Langkah tersebut juga kata TA Securities, menyokong strategi syarikat membina aliran pendapatan secara berulang dan menyokong rancangan penyenaraian REIT yang berfokus runcit. - DagangNews.com








