KUALA LUMPUR 19 Feb – Kedudukan Paramount Corporation Berhad bagi FY25 tersasar daripada jangkaan berikutan jualan hartanah dan kemajuan pengebilan projek yang perlahan, menurut TA Securities.
Firma itu berkata, selepas dikecualikan keuntungan pelupusan hartanah pelaburan sebanyak RM47.3 juta dan kerugian bukan teras lain pula RM2.1 juta, keuntungan bersih pada FY25 ialah RM73.6 juta.
Lembaga pengarah namun jelasnya, masih lagi mengisytiharkan dividen interim kedua 4.5 sen sesaham, menjadikan jumlah dividen pada FY25 sebanyak 7.5 sen sesaham, dan tidak berubah berbanding FY24.
"Keuntungan bersih susut 14.5% tahun ke tahun (YoY) susulan hasil pembangunan hartanah jatuh 12.8% apabila projek baharu belum mencapai tahap pengebilan bermakna," kata TA Securities dalam notanya.
Kemerosotan itu jelasnya, turut dipengaruhi asas perbandingan lebih tinggi pada FY24 merangkumi pendapatan dividen daripada pelaburan dalam Eco World International yang tidak berulang pada FY25.
Bagi suku keempat FY25 (4Q25), keuntungan bersih teras merosot 50.5% suku ke suku (QoQ) kepada RM12.4 juta susulan penyusutan margin pembangunan hartanah sebanyak enam mata peratusan.
Jualan baharu 4Q25 susut 34% YoY kepada RM260 juta, dan menjadikan jualan FY25 berjumlah RM1.03 bilion, turun 26% YoY, dengan prestasi rendah daripada sasaran pengurusan iaitu RM1.2 bilion.
"Paramount kurang pelancaran projek iaitu RM808 juta, daripada unjuran RM1.0 bilion, dan jualan belum dibilkan berjumlah RM1.5 bilion akhir FY25, berbanding RM1.6 bilion pada 3Q25," jelasnya.
Justeru, TA Securities menurunkan unjuran jualan baharu FY26 dan FY27 kepada masing-masing RM1.06 bilion dan RM1.15 bilion daripada RM1.4 bilion dan RM1.5 bilion. mencerminkan pendekatan perlahan.
Selain itu, unjuran hasil FY26 dan FY27 dikurangkan masing-masing 14% dan 16%, serta diperkenalkan unjuran untung bersih FY28 sebanyak RM97.9 juta berdasarkan andaian jualan baharu RM1.22 bilion.
Harga sasaran (TP) disemak turun kepada RM1.25 sesaham daripada RM1.46 sebelum ini, berdasarkan gandaan harga kepada nilai buku (P/B) lebih rendah 0.5 kali berbanding 0.6 kali sebelum ini.
"Walaupun begitu, saham Paramount masih menawarkan potensi kenaikan sekitar 19.5%, dan berdasarkan kepada perkembangan positif itu, ia turut mengekalkan lagi saranan 'beli'," tambah TA Securities.
Bagi FY26 pula katanya, kumpulan itu menyasarkan pelancaran baharu bernilai RM1.1 bilion meliputi tujuh projek di Selangor, Kedah dan Pulau Pinang, termasuklah The Atera Fasa 3 di Petaling Jaya.
Ia turut merancang projek kediaman di Seksyen U9, Shah Alam serta pembangunan bandar bercampur, berhampiran Kulim Hi-Tech Park, Kedah, takluk kepada penyempurnaan dua pengambilalihan tanah.
Kata TA Securities, segmen ruang kerja bersama, Co-labs, juga berkembang dengan pembukaan cawangan pertama di Johor Bahru dan perancangan ruang tambahan di Sunway Square, Selangor pada FY26.
"Ia mengukuhkan asas hasil berulang, dan kami menilai walaupun pelaksanaan jualan perlahan memberi tekanan jangka pendek, asas projek berpotensi menyokong pemulihan," katanya. - DagangNews.com








