Jualan 99 Speed Mart dijangka kekal kukuh disokong permintaan barangan keperluan harian - Affin Hwang | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Jualan 99 Speed Mart dijangka kekal kukuh disokong permintaan barangan keperluan harian - Affin Hwang

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 15 Mei - Jualan 99 Speed Mart Retail Holdings Bhd dijangka terus berdaya tahan disokong permintaan stabil terhadap barangan keperluan harian meskipun berdepan tekanan luaran termasuk kebimbangan inflasi dan kelembapan perbelanjaan pengguna.

 

Affin Hwang Investment Bank Research (Affin Hwang IB) berkata, kumpulan itu yang dijadual mengumumkan keputusan kewangan suku pertama tahun kewangan 2026 (1Q26) minggu hadapan dijangka mencatat peningkatan pendapatan tahun ke tahun dan suku ke suku.

 

Menurut firma penyelidikan itu, prestasi tersebut dijangka dipacu oleh peluasan rangkaian kedai serta pertumbuhan jualan kedai sama pada kadar pertengahan satu digit.

 

“Selain itu, kami menjangkakan pendapatan operasi lain yang lebih kukuh, khususnya daripada yuran penyenaraian berkaitan unit simpanan stok (SKU) baharu yang diperkenalkan bagi memenuhi permintaan bermusim sempena Tahun Baharu Cina dan Ramadan.

 

“Kami juga menjangkakan peningkatan margin secara berurutan disokong campuran produk yang lebih menguntungkan kerana produk bermusim lazimnya menawarkan margin lebih tinggi,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Affin Hwang IB  berkata, walaupun kebimbangan terhadap inflasi dan perbelanjaan pengguna yang lebih perlahan kembali timbul susulan konflik Iran-Amerika Syarikat, perbelanjaan terhadap barangan keperluan masih kekal kukuh pada Mac lalu.

 

Katanya, permintaan makanan dan minuman khususnya produk asas dijangka kekal relatif terlindung daripada tekanan ekonomi semasa.

 

“Dalam persekitaran ini, kesan terhadap jualan 99 Speed Mart dijangka terhad memandangkan syarikat mempunyai pendedahan besar kepada penggunaan barangan keperluan,” katanya.

 

Dari sudut kos operasi, firma penyelidikan itu berkata setakat ini tiada peningkatan ketara dalam kos logistik susulan pengaturan kad armada syarikat serta kuota bahan api bersubsidi yang mencukupi.

 

Affin Hwang IB mengekalkan saranan “beli” terhadap saham 99 Speed Mart dengan harga sasaran tidak berubah pada RM4.41 sesaham berdasarkan kaedah aliran tunai terdiskaun.

 

Firma itu berkata, penilaian tersebut membayangkan nisbah harga kepada pendapatan (PER) tahun kewangan 2027 sebanyak 39 kali.

 

“Kami terus menyukai 99 Speed Mart kerana tumpuan terasnya terhadap produk keperluan sejajar trend perbelanjaan asas yang berterusan, kedudukan kepimpinan dalam segmen pasar mini, rekod pendapatan berdaya tahan serta pulangan atas ekuiti yang unggul,” katanya.

 

Dalam pada itu, Affin Hwang turut menjelaskan pendapatan suku keempat tahun kewangan 2025 (4Q25) syarikat susut suku ke suku berikutan asas perbandingan tinggi pada 3Q25 yang disokong program bantuan sekali beri Sumbangan Asas Rahmah (SARA) kepada lebih 22 juta rakyat dewasa Malaysia.

 

Bagaimanapun, firma itu menjangkakan impak peruntukan SARA bagi 2026 akan diagihkan lebih sekata sepanjang tahun memandangkan program berkenaan berlangsung selama 10 bulan berbanding hanya empat bulan sebelum ini. - DagangNews.com