KUALA LUMPUR 15 Okt - Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura (JS-SEZ) terus menunjukkan momentum luar biasa dalam menarik pelaburan strategik antarabangsa apabila berjaya merekodkan jumlah pelaburan diluluskan mencecah RM37 billion bagi tempoh enam bulan pertama 2025.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, jumlah itu bersamaan 66 peratus daripada keseluruhan pelaburan di Negeri Johor yang bernilai RM56 bilion.
"Perkembangan positif ini dimaklumkan semasa saya mempengerusikan Mesyuarat Ahli Pihak Berkuasa (MOA) ke-35, Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) hari ini," katanya dalam hantaran di akaun rasmi Facebook hari ini.
Perdana Menteri berkata, mesyuarat turut meneliti kemajuan pelaksanaan JS-SEZ termasuk sektor berpotensi, kesan pelaburan semasa serta langkah memperkukuh fasilitasi pelaburan, khususnya melalui Zon Kewangan Khas Forest City.
Katanya, setakat ini, Invest Malaysia Facilitation Centre Johor (IMFC-J) telah berjaya menarik minat 104 pelabur berpotensi dengan anggaran pelaburan berjumlah RM29.51 bilion.
"Saya turut menegaskan pentingnya pembangunan di Iskandar Malaysia diselarikan dengan penyediaan kemudahan asas yang mencukupi agar kemajuan wilayah ini bersifat inklusif bagi memastikan tiada kelompok masyarakat yang terpinggir daripada arus kemakmuran," katanya. - DagangNews.com








