KUALA LUMPUR 17 Okt – Pemaju hartanah, Joland Group sudah memulakan kerja tanah bagi projek pembinaan apartmen servis terbaharunya, Paragon Signature Suites di Johor Bahru.
Projek tersebut mendapat sambutan memberangsangkan apabila mencatatkan kadar langganan hampir 90% sejak dilancarkan pada suku kedua tahun 2025.
Majlis pecah tanah itu yang berlangsung pada 16 Oktober turut menyaksikan jalinan kerjasama antara Joland dengan pengurusan inap desa, Aurum Stay Sdn Bhd.
Pengarah Eksekutif Joland Group, Datuk Seri Godwin Tan Pei Poh berkata, melalui kerjasama itu, Aurum Stay akan menyediakan platform pengurusan inap desa bersepadu untuk pemilik hartanah Paragon Signature Suites.
“Ia termasuk perkhidmatan pengurusan hartanah bersepadu, sokongan tetamu 24 jam serta reka bentuk dalaman secara professional.
“Kerjasama dengan Aurum Stay adalah satu pencapaian penting untuk kami terus meneroka cara inovatif bagi menambah nilai kepada pembangunan serta pemilikan hartanah,” katanya dalam satu kenyataan.
Terletak di Jalan Abdul Samad Johor Bahru, projek Paragon Signature Suites seluas 1.14 ekar ini terdiri daripada bangunan setinggi 32 tingkat dengan anggaran Nilai Pembangunan Kasar (GDV) sebanyak RM291 juta.
Ia menawarkan sebanyak 484 unit ‘partially furnished’ dengan dua keluasan binaan iaitu 645 kaki persegi dan 649 kaki persegi.
Projek itu disasarkan siap pada suku kedua tahun 2029.
Direka bentuk untuk pemilikan penginapan jangka pendek, pembangunan ini dilengkapi pelbagai kemudahan termasuk gelanggang pickleball, bilik permainan, kolam renang serta perkhidmatan ulang-alik percuma ke Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin Johor Bahru (CIQ).
Terletak hanya 5 kilometer dari projek Rapid Transit System Link yang bakal siap dan CIQ Johor Bahru, tapak projek ini turut menawarkan akses mudah ke Singapura serta pelbagai perkedaian runcit dan tempat makan berdekatan.
Beliau berkata, Joland Group merancang untuk memperluaskan pembangunan masa depannya di kawasan Tampoi, Skudai dan Nusa Sentral susulan kejayaan projek Paragon Signatures Suites.
“Dengan siapnya projek RTS Link dan pertambahan pelawat domestik serta antarabangsa, Joland Group berada pada kedudukan kukuh untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat terhadap pemilikan kediaman dan penginapan yang berkualiti tinggi serta mudah diakses di Johor Bahru,” katanya. - DagangNews.com








