KUALA LUMPUR 3 April – Delegasi Johor ke China berjaya menarik minat lebih 150 pelabur global berpotensi tinggi semasa lawatan ke Shanghai, dengan fokus pada keistimewaan Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura (JS-SEZ) yang menjadi pintu masuk utama pelabur antarabangsa ke Asia Tenggara.
Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz yang mengetuai delegasi itu berkata, ia adalah antara inisiatif Johor untuk terus memperkukuh kedudukannya sebagai destinasi pelaburan utama serantau selaras dengan strategi negeri itu untuk mempercepat pertumbuhan ekonomi berteknologi maju dan berpendapatan tinggi.
Beliau berkata usaha tersebut diperkukuh melalui sesi libat urus strategik bersama lebih 150 pelabur global berpotensi tinggi di Shanghai, China, yang menyatakan minat untuk meneroka peluang pelaburan bernilai tinggi di Johor, khususnya dalam sektor berimpak tinggi dan berteknologi maju.
“Dalam sesi libat urus bersama China Construction Bank (CCB), hampir 20 syarikat pelabur daripada sektor bioteknologi, pembuatan, digital, tenaga dan aeroangkasa telah mengambil bahagian bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai peluang pelaburan di negeri Johor.
“Sepanjang sesi tersebut berlangsung, Kerajaan Negeri Johor memberi tumpuan kepada usaha menarik pelaburan berkualiti yang bukan sahaja membawa masuk modal baharu, malah mampu mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan berpendapatan tinggi kepada rakyat tempatan.
“Selain itu, pelaburan berimpak tinggi juga dijangka dapat memacu pemindahan teknologi baharu, sekali gus membantu memperkukuh ekosistem industri bernilai tinggi di Johor dan meningkatkan daya saing negeri itu di peringkat serantau dan global,” katanya.
CCB merupakan antara bank terbesar dunia dengan rangkaian lebih 13,000 cawangan di seluruh China serta memainkan peranan penting dalam sistem kewangan global, khususnya dalam pembiayaan sektor korporat, infrastruktur dan pelaburan berskala besar.
Perkembangan ini dilihat sebagai petanda positif terhadap keyakinan pelabur global terhadap Johor, terutamanya dalam suasana ekonomi dunia yang berdepan ketidaktentuan geopolitik dan cabaran rantaian bekalan global ketika ini.
Johor juga dilihat mempunyai kelebihan strategik sebagai pintu masuk pelaburan ke rantau ASEAN, disokong oleh kedudukan geografi yang strategik, infrastruktur yang baik serta hubungan ekonomi yang rapat dengan Singapura.
Melalui inisiatif JS-SEZ, Johor menyasarkan untuk menarik lebih banyak pelaburan bernilai tinggi dalam sektor strategik, sekali gus mempercepat transformasi ekonomi negeri ke arah ekonomi berasaskan teknologi dan inovasi.
Secara keseluruhannya, usaha berterusan ini dijangka dapat memperkukuh kedudukan Johor dalam rantaian ekonomi serantau dan global, di samping membuka lebih banyak peluang pekerjaan berkualiti serta memberi limpahan ekonomi yang lebih menyeluruh kepada rakyat dan pembangunan negeri. - DagangNews.com








