KUALA LUMPUR 27 Jan – Johor Port Berhad (Johor Port), syarikat di bawah kumpulan MMC, terus mengukuhkan kedudukannya sebagai pintu masuk perdagangan serantau apabila berjaya mengendalikan sehingga 1,800 pergerakan lori sehari sepanjang tahun 2025.
Dalam kenyataan hari ini, Johor Port berkata, prestasi tersebut dicapai dengan mengekalkan kelancaran operasi serta kesesakan minimum walaupun berdepan jumlah trafik yang tinggi termasuk pada waktu puncak.
Menurut Johor Port, jumlah keseluruhan pergerakan pengangkut mencecah 639,011 pada 2025, meningkat 7% berbanding 2024.
Peningkatan itu selari dengan lonjakan pengendalian kontena kepada paras rekod 1.08 juta TEU iaitu pencapaian tertinggi pernah direkodkan oleh pelabuhan berkenaan.
Aliran trafik yang konsisten, dengan purata sekitar 1,750 lori sehari, berjaya diurus tanpa gangguan besar, mencerminkan keberkesanan penambahbaikan operasi pintu masuk, penyelarasan bersama pengendali pengangkutan serta kecekapan keseluruhan terminal.
Pengerusi Johor Port, Tan Sri Che Khalib Mohamad Noh berkata, keupayaan mengurus jumlah pergerakan lori harian yang tinggi tanpa kesesakan ketara menjadi pemacu utama kepada pertumbuhan dan prestasi cemerlang Johor Port pada 2025.
“Kecekapan ini membolehkan syarikat menyokong peningkatan panggilan kapal, memastikan pelepasan kargo yang lebih pantas dan seterusnya mengukuhkan peranan Johor Port sebagai pintu masuk perdagangan serantau yang boleh dipercayai,” katanya.
Pemerhati industri berpandangan kesesakan darat lazimnya menjadi cabaran utama di pelabuhan sibuk, khususnya ketika volum perdagangan meningkat.
Namun, prestasi Johor Port pada tahun lalu membuktikan kepentingan penyelarasan berkesan antara pengendali pelabuhan dan pengangkutan darat bagi memastikan aliran kargo yang lancar.
Sebahagian besar trafik darat pelabuhan ini disokong oleh pengendali pengangkutan di bawah Persatuan Haulier Malaysia (AMH), yang ahlinya merangkumi majoriti pergerakan lori keluar masuk Johor Port.
Seiring pengiktirafan terhadap peranan komuniti logistik, Johor Port telah menganjurkan sesi libat urus bersama AMH pada awal bulan ini serta mengagihkan pek penghargaan kepada pemandu lori yang memasuki kawasan pelabuhan.
Ketua Pegawai Eksekutif Johor Port, Md Derick Basir berkata, jumlah pergerakan lori harian yang tinggi secara konsisten mencerminkan tahap keyakinan industri terhadap kecekapan operasi pelabuhan itu.
“Mengendalikan hampir 1,800 lori sehari merupakan petunjuk kukuh kepercayaan komuniti logistik terhadap Johor Port. Lebih penting, pergerakan ini dapat diurus dengan lancar dan kesesakan minimum, termasuk pada waktu puncak, hasil usaha kolektif pasukan kami serta kerjasama erat dengan pengendali pengangkutan,” katanya.
Naib Presiden AMH, Dzulfariqh Abdul Manap berkata, pencapaian pengendalian 1.08 juta TEU membuktikan hasil positif apabila pelabuhan dan penyedia logistik darat beroperasi secara sinergi.
“Bagi pihak AMH, syarikat menghargai inisiatif Johor Port, khususnya pendekatan proaktif terhadap pendigitalan yang dijangka meningkatkan operasi harian serta masa putaran kerja pemandu lori dengan ketara,” katanya.
Prestasi operasi Johor Port turut disokong oleh pelaburan berterusan dalam peralatan dan infrastruktur, termasuk pengoperasian dua kren dermaga baharu pada September 2025 serta penambahan reach stackers kontena bagi meningkatkan kecekapan di kawasan simpanan kontena dan landasan kereta api.
Pelabuhan itu juga sedang melaksanakan kerja menaik taraf berterusan, meliputi pemulihan kawasan simpanan kontena dan pengembangan kemudahan kontena sejuk bagi menyokong pertumbuhan masa hadapan.
Selain itu, Johor Port sedang bersiap sedia untuk melaksanakan sistem pintu masuk dan jambatan timbang automatik menjelang akhir 2026, dengan sasaran mengurangkan masa pemprosesan lori dan memperbaiki aliran trafik selaras peningkatan volum pergerakan.
Menurut Johor Port, kecekapan kawasan darat akan terus menjadi fokus utama, seiring peranan strategik pelabuhan itu dalam menyokong pertumbuhan perdagangan, khususnya dengan pembangunan inisiatif seperti Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura. - DagangNews.com








