KUALA LUMPUR 15 Mei - Johor Plantations Group Bhd dijangka meningkatkan tahap pengeluaran dan hasil pendapatannya pada masa hadapan menerusi pelaksanaan amalan agronomi unggul serta pengurusan ladang yang lebih berdisiplin, menurut CIMB Securities.
Firma penyelidikan itu berkata selain itu JPG yang memiliki kira-kira 55,723 hektar ladang kelapa sawit, kebanyakannya di Johor, merancang mempercepatkan program penanaman semula bagi meningkatkan hasil produk sawit pada masa depan.
"Selain itu, kumpulan turut merancang meningkatkan sumber luaran tandan buah segar (FFB) serta memperluaskan operasi hiliran menerusi Kompleks Minyak Sawit Mampan Bersepadu miliknya di Johor," katanya dalam nota kajian.
CIMB Securities yang memulakan liputan terhadap syarikat perladangan bersaiz sederhana itu dengan saranan 'Pegang' dan harga sasaran RM1.91 sesaham.
Penilaian itu dibuat berdasarkan gandaan harga pendapatan (P/E) FY2027 sebanyak 14.5 kali, selari dengan penilaian syarikat perladangan bersaiz sederhana lain yang tersenarai di Bursa Malaysia.
Menurut CIMB Securities lagi, JPG baru-baru ini menandatangani perjanjian bagi membeli FFB pihak ketiga daripada kawasan seluas kira-kira 13,200 hektar di Johor selepas bekalan FFB luaran meningkat 26.5% tahun ke tahun pada 2025.
Selain itu JPG juga merancang menanam semula kira-kira 7% kawasan tanamannya setiap tahun bermula dengan 3,607 hektar pada 2026, diikuti 3,572 hektar pada 2027 dan 3,495 hektar pada 2028.
“Produktiviti hasil produk sawit kumpulan berada pada paras 5.8 tan sehektar pada 2025, namun JPG menyasarkan untuk mencapai tujuh tan sehektar menjelang 2036.
“Sasaran itu akan membuka laluan kepada peningkatan hasil pendapatan bagi setiap hektar,” katanya.
Tambah CIMB Securities, pelan hala tuju strategik JPG turut menyasarkan transformasi syarikat daripada operasi yang tertumpu kepada sektor huluan kepada pengeluar produk keperluan asas dan bioenergi bersepadu.
Menurutnya, strategi tersebut akan memberi tumpuan kepada pertumbuhan mampan serta penghasilan produk bernilai lebih tinggi dalam jangka panjang. - DagangNews.com








