KUALA LUMPUR 12 Dis - Johor Plantation Group, Gas Malaysia antara 26 syarikat senaraian awam terbaharu yang memasuki Indeks FTSE4Good Bursa Malaysia (F4GBM).
Indeks F4GBM mengukur prestasi syarikat senaraian awam yang mempunyai amalan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) yang kukuh.
Turut tersenarai di dalam F4GBM ialah Kerjaya Prospek Property, DXN Holdings, Malaysia Smelting Corporation dan Tropicana Corporation.
Bursa Malaysia dalam kenyataan berkata bagi semakan Disember 2025 itu, sebanyak 24 syarikat lagi tersenarai dalam Indeks FTSE4Good Bursa Malaysia Shariah (F4GBMS).
Pada masa sama katanya, enam syarikat dikeluarkan daripada F4GBM dan 10 syarikat dikeluarkan daripada F4GBMS.
"Kedua-dua indeks disemak dua kali setahun pada bulan Jun dan Disember, berdasarkan kriteria yang ditetapkan serta diiktiraf di peringkat global yang digunakan oleh FTSE Russell," katanya.
Menurut kenyataan itu lagi, dengan perubahan ini, jumlah keanggotaan F4GBM meningkat kepada 180 syarikat, manakala F4GBMS kini merangkumi 139 syarikat yang memenuhi kriteria ESG serta patuh Shariah.
Tambahnya, penilaian semi-tahunan itu membabitkan syarikat tersenarai dalam Indeks FTSE Bursa Malaysia EMAS meliputi semua segmen modal pasaran — kecil, sederhana dan besar.
Langkah penstrukturan semula ini dianggap penting memandangkan pelabur institusi dan global semakin menuntut pendedahan yang telus, strategi kelestarian yang kukuh serta pematuhan terhadap garis panduan ESG dan Shariah.
Semua perubahan keanggotaan akan berkuat kuasa pada 22 Disember 2025 (Isnin) pada permulaan dagangan — dijangka memberi impak kepada aliran dana pasaran, termasuk penanda aras dana ESG tempatan dan antarabangsa.
Senarai penuh syarikat yang terlibat akan diterbitkan dalam jadual rasmi semakan indeks oleh Bursa Malaysia. - DagangNews.com










