​​​​​​​Johor peruntuk RM209 juta untuk 42 inisiatif, manfaat 1.9 juta rakyat – MB Onn Hafiz | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

​​​​​​​Johor peruntuk RM209 juta untuk 42 inisiatif, manfaat 1.9 juta rakyat – MB Onn Hafiz

Oleh Muhammad Iman

ISKANDAR PUTERI 11 Sept - Kerajaan Johor memperuntukkan lebih RM209 juta bagi melaksanakan 42 inisiatif yang dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 1.9 juta rakyat negeri itu, kata Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

 

Daripada jumlah tersebut, 25 inisiatif memberi tumpuan kepada usaha mengurangkan kos sara hidup termasuk bantuan tunai sekali bayar dan peruntukan kepada rumah kebajikan.

 

Antara yang mendapat perhatian ialah Program Infaq Jumaat, ilham Pemangku Raja Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, yang menyediakan bantuan makanan kepada golongan memerlukan setiap Jumaat.

 

“Sebagai permulaan, kerajaan negeri memperuntukkan kira-kira RM1.72 juta kepada 132 masjid di seluruh negeri. Program ini tidak terhad kepada umat Islam sahaja, malah masyarakat bukan Islam juga dialu-alukan untuk menikmati manfaatnya.

 

"Program ini akan diperluaskan lagi pada tahun depan,” katanya ketika membentangkan inisiatif berkenaan dalam sidang Dewan Undangan Negeri di Bangunan Majlis Bandaraya Iskandar Puteri di sini.

 

Selain itu, kerajaan negeri turut mengumumkan bantuan tunai RM200 secara sekali bayar kepada pelbagai kumpulan termasuk pelajar universiti, pemandu e-hailing dan p-hailing, pemandu teksi, pesara polis dan tentera, warga emas di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat, petani serta nelayan.

 

Turut diumumkan ialah peruntukan RM4.95 juta bagi inisiatif bakul makanan sempena Deepavali yang dijangka memberi manfaat kepada 48,300 keluarga India di seluruh negeri serta RM2 juta bagi menyokong aktiviti masyarakat Cina.

 

Onn Hafiz berkata, baki 17 inisiatif lain memberi fokus kepada pembangunan infrastruktur serta program pemerkasaan ekonomi dan sosial rakyat Johor.

 

Antaranya termasuk menyelesaikan 158 isu bernilai RM12.61 juta yang dibangkitkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri menerusi jawatankuasa tindakan DUN, memperuntukkan RM1.26 juta bagi pemasangan mercu tanda promosi Visit Johor 2026 di 21 lokasi serta RM1.19 juta untuk projek kecil berskala khas di enam pihak berkuasa tempatan.

 

Kerajaan negeri juga menyalurkan dana bagi menaik taraf kemudahan perubatan, hentian bas dan papan tanda, selain menganjurkan program seperti Johor Business Summit dan Jelajah Mahasiswa Johor.

 

“Secara keseluruhan, inisiatif ini melibatkan 1.9 juta penerima manfaat dengan nilai peruntukan melebihi RM209 juta.

 

“Ini membuktikan bahawa setiap ringgit tambahan yang diterima kerajaan negeri tidak sekadar direkodkan sebagai pencapaian angka semata-mata, tetapi lebih penting, ia disalurkan serta dikembalikan terus kepada rakyat,” tegas beliau. - DagangNews.com