Johor negeri pintar pertama di Malaysia, 16 PBT terima penarafan - Onn Hafiz | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Johor negeri pintar pertama di Malaysia, 16 PBT terima penarafan - Onn Hafiz

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 29 Okt – Johor mencatat sejarah apabila muncul sebagai negeri pertama di Malaysia diiktiraf sebagai “negeri pintar” selepas kesemua 16 pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri itu mencapai sekurang-kurangnya Tahap 1: (Bandar Pintar Peringkat Awal) dalam penilaian Penarafan Bandar Pintar Malaysia 2025,

 

Kejayaan tersebut disahkan selepas Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) turut menerima pengiktirafan sebagai satu-satunya PBT di Malaysia yang mencapai penarafan tertinggi, iaitu Tahap 3: Bandar Pintar Utama.

 

 

 

 

 

 

Menurut Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, pengiktirafan itu menjadikan Johor sebagai negeri peneraju dalam agenda transformasi digital negara serta membuktikan keberkesanan strategi pelaksanaan di lapangan.

 

“Menjunjung titah Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor, yang sentiasa menekankan kepentingan transformasi digital serta kesejahteraan rakyat sebagai asas kemakmuran negeri, kejayaan ini adalah bukti nyata bahawa Johor berada di landasan tepat menuju negeri maju dan makmur.

 

“Pencapaian ini juga amat membanggakan kerana dicapai lima tahun lebih awal daripada sasaran asal pelan induk Blueprint Bandar Pintar Johor 2030, sekali gus menonjolkan komitmen seluruh PBT dan agensi pelaksana negeri dalam memperkukuh inisiatif digital,” katanya dalam kenyataan yang dimuatnaik di Facebook rasminya, semalam.

 

t
Majlis Bandaraya Johor Bahru

 

Onn Hafiz berkata, pengiktirafan itu juga menjadi pemangkin kepada pembangunan ekosistem digital dan tadbir urus bandar pintar di Johor, selain memperkukuh pelaksanaan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) sebagai enjin pertumbuhan ekonomi serantau.

 

“Semoga kejayaan ini terus mendorong usaha kita menjadikan Johor sebagai negeri maju, makmur dan pintar demi kesejahteraan seluruh Bangsa Johor,” katanya.

 

Baru-baru ini, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT memaklumkan sebanyak 30 pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negara telah memperoleh Penarafan Bandar Pintar Malaysia 2025.

 

Ia mencerminkan kemajuan berterusan dalam pelaksanaan inisiatif bandar pintar bagi merealisasikan visi Negara Pintar menjelang 2040.

 

Pengiktirafan tersebut adalah berdasarkan indikator bandar pintar di bawah Standard Malaysia ISO 37122:2019, yang digunakan untuk menilai prestasi dan tahap pelaksanaan inisiatif bandar pintar.

 

 

 

 

 

 

Semua PBT yang diiktiraf akan menerima anugerah masing-masing daripada Menteri KPKT pada 28 Oktober ini, bersempena sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia 2025 di Putrajaya.

 

Sejak Program Penarafan Bandar Pintar diperkenalkan pada tahun 2023, sebanyak 75 PBT telah diiktiraf sebagai bandar pintar iaitu 70 PBT pada Tahap 1, empat pada Tahap 2 dan satu pada Tahap 3. - DagangNews.com