JF Technology lantik Andy Goh sebagai CEO, Joanne Lee pula diumum GCEO Ayer Holdings | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

JF Technology lantik Andy Goh sebagai CEO, Joanne Lee pula diumum GCEO Ayer Holdings

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 2 Julai - JF Technology Bhd dan Ayer Holdings Bhd, masing-masing mengumumkan pelantikan ketua eksekutif baharu sebagai sebahagian daripada strategi pengukuhan pengurusan dan hala tuju masa depan syarikat.

 

JF Technology Bhd telah melantik Andy Goh Joo Hwa, 53 sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharu berkuat kuasa 1 Julai 2025.

 

Beliau akan menerajui operasi perniagaan syarikat pengeluar litar bersepadu itu dengan memberi fokus kepada inovasi teknologi, peluasan pasaran, pengukuhan hubungan pelanggan serta kecemerlangan operasi.

 

Ssyarikat itu memaklumkan CEO sebelum ini, iaitu Datuk Foong Wei Kuong pula dilantik sebagai Pengarah Urusan Kumpulan untuk memfokuskan kepada pengurusan strategik baharu di bawah pelan transformasi JF 4.0.

 

Beliau akan memfokuskan kepada peluang pertumbuhan jangka panjang menerusi kerjasama strategik, penggabungan dan pengambilalihan korporat selari dengan pelan transformasi yang sama.

 

Dalam perkembangan berasingan, Ayer Holdings Bhd pula mengumumkan pelantikan Joanne Lee Sor Phaik, 55, sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan berkuat kuasa serta-merta.

 

Dalam pemfailan kepada Bursa Malaysia, syarikat yang terlibat dalam pembangunan hartanah serta perladangan kelapa sawit dan durian itu berkata, Joanne dilantik untuk menggantikan Chua Seng Yong, 62, yang telah bersara.

 

Sebelum ini, Joanne adalah Ketua Pegawai Eksekutif Kerjaya Prospek Property Bhd dengan menerajui pelbagai inisiatif transformasi untuk menjana nilai dan pulangan mampan.

 

Joanne kini bertanggungjawab memacu Ayer dalam fasa pertumbuhan dan transformasi seterusnya bagi menjamin nilai jangka panjang kepada para pemegang kepentingan.

 

Dengan lebih 30 tahun pengalaman dalam sektor pembangunan hartanah, pembinaan, pembuatan, hospitaliti dan perolehan, Joanne telah memainkan peranan penting sejak menyertai Ayer sebagai Timbalan GCEO pada Oktober 2024.

 

Sebelum itu, beliau turut menyandang jawatan kanan di TT Resources Bhd, Tropicana Corp Bhd, Kerjaya Prospek Property Bhd dan IGB Bhd dan dikenali sebagai pemimpin yang berupaya melaksanakan projek transformasi perniagaan serta memacu pertumbuhan strategik di peringkat tempatan dan antarabangsa. - DagangNews.com