KUALA LUMPUR 10 Dis - Jentayu Sustainables Bhd memberi amaran bahawa cabaran undang-undang yang difailkan terhadap mesyuarat agung luar biasa (EGM) pada 4 Disember, jika berlarutan, boleh menyebabkan kelewatan kepada garis masa pelaksanaan dan pembiayaan pembangunan projek hidroelektriknya, Projek Oriole di Sabah.
Seorang pemegang saham, Andy Lai Wee Young yang memiliki 1.361 juta saham Jentau, telah memfailkan saman bagi mendapatkan perisytiharan pembatalan EGM dan resolusi yang diluluskan, atas alasan yang berkaitan dengan keputusan syarikat untuk menangguhkan mesyuarat awal dan proses di sebalik persidangan semula mesyuarat tersebut.
Dalam pemfailan sebagai menjawab pertanyaan Bursa Malaysia, Jentayu berkata sebarang penangguhan dalam melaksanakan cadangan penempatan persendirian, yang telah diluluskan pada EGM untuk membiayai Projek Oriole, mungkin menjejaskan tempoh pelaksanaan projek dan strategi pembiayaan yang lebih luas, dengan kos peluang yang tercetus daripada kelewatan tersebut.
Pada EGM 4 Disember, pemegang saham meluluskan penempatan persendirian sehingga 20% daripada modal terbitan syarikat untuk mengumpul sehingga RM45.26 juta bagi membiayai Projek Oriole.
ARTIKEL BERKAITAN: Pemegang saham Jentayu gesa EGM ditangguhkan, dakwa tarikh mesyuarat tidak sah
Tanpa hasil daripada penempatan tersebut, Jentayu berkata kedudukan aliran tunainya mungkin menjadi semakin tertekan dan syarikat mungkin tidak dapat memenuhi komitmen ekuiti 20% yang diperlukan untuk Projek Oriole.
Ini tambahnya, berpotensi melambatkan penyiapan struktur pembiayaan dengan pemberi pinjaman kanan dan mewujudkan ketidakpastian dalam memenuhi keperluan perjanjian pembelian kuasa (PPA), mendedahkannya kepada potensi peningkatan kos dan implikasi kontrak.
Projek Oriole – projek hidroelektrik run-of-river 162MW bernilai RM2.8 bilion di Hulu Sungai Padas di Sipitang – dianggap sebagai satu daripada pembangunan tenaga boleh baharu terbesar di Sabah dan disokong oleh PPA 40 tahun yang ditandatangani dengan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) pada bulan April.
Jentayu memiliki 70% dalam projek itu, bersama-sama SESB, unit milik 80% Tenaga Nasional Bhd dengan 20% pegangan, diikuti oleh Yayasan Sabah (10%).
PPA membenarkan penjualan sehingga 868,894 megawatt-jam setiap tahun, dengan operasi dijadualkan bermula pada 1 Jun 2029.
Jentayu turut mengesahkan Mahkamah Tinggi tidak memberikan injunksi yang dipohon oleh Lai, yang telah memohon untuk menghalang syarikat daripada mengadakan EGM 4 Disember atau melaksanakan resolusinya.
Sebaliknya, mahkamah merekodkan perintah persetujuan di mana syarikat telah berjanji untuk tidak menerbitkan atau memperuntukkan saham kepada mana-mana cadangan pelabur baharu di bawah penempatan persendirian yang diluluskan, sementara menunggu pelupusan saman, walaupun aku janji tersebut tidak menghalang Jentayu daripada mengambil langkah-langkah persediaan termasuk mengenal pasti pelabur, menyediakan dokumentasi dan mendapatkan kelulusan.
Syarikat itu berkata potensi liabiliti yang timbul daripada saman tersebut termasuk kos guaman, fi profesional, dan kos berkaitan mengadakan EGM baharu sekiranya kelulusan perlu dicari semula.
"Syarikat telah melantik peguam bela untuk mempertahankan saman pemula tersebut dan akan terus mengambil semua tindakan yang perlu untuk melindungi kepentingannya, termasuk hak syarikat untuk mengambil sebarang tindakan yang tersedia kepada syarikat terhadap plaintif bagi kos dan kerugian yang ditanggung oleh syarikat," kata Jentayu. - DagangNews.com








