JCorp, Sumitomo meterai perjanjian strategik rintis projek berimpak tinggi di IBTEC | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

JCorp, Sumitomo meterai perjanjian strategik rintis projek berimpak tinggi di IBTEC

Gambar/ Facebook Lee Ting Han
Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 17 Sept – Cabang hartanah milik penuh Johor Corporation (JCorp), JLand Group Sdn Bhd (JLand) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bersama Sumitomo Corporation dari Jepun bagi merintis kerjasama pelbagai projek berimpak tinggi dalam sektor tenaga boleh diperbaharui, penjagaan kesihatan dan pembangunan industri strategik di Ibrahim Technopolis (IBTEC), Johor.

 

Satu lagi MoU turut dimeterai antara Patient Capital Division JCorp dengan Sumitomo, bagi memperkasa inisiatif tenaga rendah karbon, sistem penyejukan distrik (district cooling), serta infrastruktur air yang lebih cekap – selaras dengan aspirasi Johor untuk membangunkan utiliti masa hadapan yang mampan dan berdaya tahan.

 

Majlis pemeteraian persefahaman itu berlangsung di Pavilion Malaysia sempena World Expo 2025 di Osaka Jepun, sekali gus menandakan satu lonjakan penting dalam usaha Johor untuk memanfaatkan peralihan Asia ke arah ekonomi hijau dan industri pintar. 

 

Usahasama ini juga dijangka memperkukuh hubungan ekonomi antara Johor dan Jepun, serta menyokong pertumbuhan dalam Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura (JS-SEZ).

 

MoU pertama antara JLand dan Sumitomo memberi tumpuan kepada pembangunan ekosistem penjagaan kesihatan menyeluruh termasuk, komuniti kediaman warga emas, pusat pemulihan kesihatan dan hab kesejahteraan bersepadu.

 

Ia turut merangkumi pembangunan taman perindustrian generasi baharu di koridor pertumbuhan strategik Johor, menjadikan IBTEC sebagai pemacu utama transformasi industri di rantau ini.

 

MoU kedua yang ditandatangani oleh Patient Capital Division JCorp pula memberi tumpuan kepada pelaksanaan projek-projek mampan seperti tenaga boleh diperbaharui dan rendah karbon, sistem penyejukan distrik yang cekap tenaga, rangkaian bekalan air pintar untuk meningkatkan daya tahan iklim dan kecekapan sumber

 

Inisiatif ini dijangka menyokong infrastruktur hijau Johor, menjadikan negeri itu antara peneraju dalam penyediaan utiliti masa depan yang lestari di rantau ASEAN.

 

Majlis menandatangani MoU itu telah disaksikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Johor, Lee Ting Han, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif JCorp Datuk Syed Mohamed Syed Ibrahim dan Ketua Pegawai Eksekutif Sumitomo Corporation Asia & Oceania Hirokazu Higashino.

 

Ting Han dalam kenyataan di Facebooknya berkata, kerjasama ini bukan sekadar pelaburan modal, tetapi juga membawa pemindahan teknologi, peningkatan kapasiti bakat tempatan, dan pengukuhan rantaian bekalan. 

 

"Ia bakal membuka peluang pekerjaan baharu, memperkayakan ekosistem perniagaan, serta memacu pembangunan hijau dan digital yang mampan untuk Johor.

 

"Kami amat teruja dengan potensi besar yang bakal terhasil daripada kerjasama ini — bersama membina Johor yang lebih cemerlang, inklusif, dan mampan," katanya. - DagangNews.com