KUALA LUMPUR 28 Okt – Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen bagi Hal Ehwal Perhubungan Antarabangsa dan Perdagangan akan mengadakan sesi pendengaran pada 12 November bagi meneliti perjanjian perdagangan baharu Malaysia-Amerika Syarikat.
Langkah itu dibuat susulan beberapa Ahli Parlimen menyuarakan kebimbangan mengenai beberapa terma boleh menjejaskan kedaulatan perdagangan negara.
Pengerusi jawatankuasa, Wong Chen, berkata, wakil daripada Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Kedutaan Amerika Syarikat, ahli ekonomi serta dewan perniagaan akan dijemput untuk menjelaskan perjanjian itu dan impaknya terhadap perjanjian perdagangan Malaysia yang sedia ada, termasuk dengan negara-negara BRICS seperti Brazil, Rusia, India dan China.
Beliau berkata, walaupun Parlimen tidak mempunyai kuasa meluluskan perjanjian perdagangan, jawatankuasa itu berperanan memastikan kerajaan bertanggungjawab dalam perkara tersebut.
“Saya berharap agar Jawatankuasa Parlimen perlu lebih bebas dan mendapat sokongan mencukupi bagi melindungi kedaulatan negara,” katanya dalam satu kenyataan.
Ahli jawatankuasa pilihan khas itu termasuk Ahli Parlimen Kubang Pasu, Datuk Wira Dr Ku Abd Rahman; Ahli Parlimen Ipoh Timur, Lee Chuan How; Ahli Parlimen Puncak Borneo, Datuk Willie anak Mongin dan Ahli Parlimen Segamat, Yuneswaran Ramaraj.
Perjanjian perdagangan Malaysia-AS yang diumumkan pada 26 Oktober semasa lawatan Presiden AS, Donald Trump, bagi Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 menawarkan pengurangan atau pengecualian tarif ke atas 1,711 eksport Malaysia, termasuk minyak sawit, getah, koko, alat ganti pesawat dan produk farmaseutikal.
Bagaimanapun, beberapa Ahli Parlimen memberi amaran bahawa perjanjian itu boleh menjejaskan kedaulatan ekonomi Malaysia kerana beberapa klausa mewajibkan Malaysia meniru sekatan perdagangan atau tindakan AS terhadap negara lain.
Artikel 5.1 perjanjian menjadi tumpuan utama kerana ia mewajibkan Malaysia mengambil tindakan perdagangan serupa apabila Washington mengenakan tarif, kuota atau sekatan import ke atas negara ketiga atas alasan ekonomi atau keselamatan negara.
Artikel itu juga menuntut Malaysia bertindak terhadap amalan tidak adil oleh syarikat negara ketiga yang beroperasi di Malaysia dan menjejaskan eksport atau pasaran Amerika Syarikat. - DagangNews.com








