Jasa Kita dikemukakan tawaran pengambilalihan 38 sen sesaham susulan pemilikan 40.33% ekuiti oleh Abdul Aziz, Yasmin Mahmood, Iskandar Mizal | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Jasa Kita dikemukakan tawaran pengambilalihan 38 sen sesaham susulan pemilikan 40.33% ekuiti oleh Abdul Aziz, Yasmin Mahmood, Iskandar Mizal

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 12 Sept - Pemegang saham pengawal baharu Jasa Kita Bhd telah melancarkan tawaran pengambilalihan tanpa syarat pada harga 38 sen sesaham bagi baki pegangan yang belum dimiliki, susulan pertukaran kawalan ke atas syarikat pengeluar peralatan kuasa dan peralatan industri itu.

 

Tawaran tersebut dibuat selepas tokoh industri minyak dan gas, Abd Azis Mohamad bersama isterinya Datuk Yasmin Mahmood, bekas Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC), serta iparnya Datuk Iskandar Mizal Mahmood, pengarah Boustead Holdings Bhd, memperoleh pegangan 40.33% daripada bekas pemegang saham utama, Casio King Robert Tan Hua Choon dan anaknya Tan Han Chuan dengan nilai RM68.9 juta.

 

Perjanjian itu bergantung kepada penjualan empat lot tanah industri di Gombak kepada Logik Damai Sdn Bhd milik Hua Choon dengan harga RM38 juta.

 

Selepas pengambilalihan tersebut, Abd Azis dan kumpulannya kini menguasai 50.19% pegangan dalam Jasa Kita dan berhasrat mengekalkan status penyenaraian syarikat itu di Bursa Malaysia.

 

Jasa Kita sebelum ini telah mengisytiharkan dividen khas sebanyak 12 sen sesaham hasil daripada penjualan tanah berkenaan.

 

Pemegang saham yang menerima tawaran pengambilalihan ini akan menerima bayaran penuh 38 sen sesaham sekiranya dividen dibayar selepas tawaran ditutup.

 

Sekiranya dividen diagihkan dalam tempoh tawaran, harga efektif tawaran akan diselaraskan kepada 26 sen sesaham.

 

Tawaran ini memberikan peluang kepada pemegang saham minoriti untuk mencairkan pegangan masing-masing ketika pemilik baharu mengambil alih kawalan, sambil menunjukkan komitmen mereka mengekalkan penyenaraian Jasa Kita. 

 

Ditubuhkan sejak 1988, Jasa Kita Berhad (JKB) merupakan sebuah syarikat pegangan pengurusan dan pelaburan yang telah disenaraikan di Papan Utama Bursa Malaysia (dahulu KLSE) sejak Mac 1993.

 

Anak-anak syarikatnya terlibat dalam pembuatan, pemasangan dan perdagangan alatan kuasa premium, motor aruhan elektrik, alatan tangan serta peralatan industri lain.

 

Sejak kebelakangan ini, kumpulan berkenaan turut memperluas perniagaan perdagangan dengan membawa masuk alatan tangan dan alatan udara jenama “SATA” dan “Kuani” untuk industri automotif.- DagangNews.com