Jangan remehkan pemberian RM100 di bawah SARA - PM Anwar | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Jangan remehkan pemberian RM100 di bawah SARA - PM Anwar

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada perhimpunan bulanan Kementerian Kewangan di Putrajaya pada 24 Julai 2025.

PUTRAJAYA 24 Julai - Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan semua pihak agar tidak memandang remeh nilai bantuan tunai tambahan sebanyak RM100 kepada warganegara Malaysia berumur 18 tahun ke atas menerusi program Sumbangan Asas Rahmah (SARA).

 

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata walaupun jumlah itu mungkin dianggap kecil bagi golongan berpendapatan tinggi, namun ia amat bermakna buat rakyat di luar bandar serta golongan berpendapatan rendah.

 

“(Semua kritik) RM100 saja, (tapi) kamu gaji RM40,000, RM20,000 sebulan. (Memang) RM100 itu tak ada apa, tapi saya tahu kalau kita pergi ke kampung (ada manfaatnya),” kata Anwar ketika berucap pada perhimpunan bulanan Kementerian Kewangan di sini hari ini.

 

Perdana Menteri turut menjelaskan bahawa bagi sebuah keluarga miskin yang mempunyai dua anak dewasa dan pasangan suami isteri, bantuan tunai itu boleh mencecah RM400 dan jika ditambah dengan Sumbangan Tunai Rahmah sedia ada, jumlahnya boleh meningkat hingga RM700.

 

“…jadi jangan remehkan usaha kerana itu upaya kita (kerajaan) untuk tambah peruntukan sedia ada, daripada RM13 bilion ke RM15 bilion (tambahan RM2 bilion),” kata Anwar.

 

Anwar dalam pada itu turut membidas kenyataan sesetengah pihak yang mempertikaikan mengenai rasionalisasi subsidi petrol.

 

“Ketua parti pembangkang (Datuk Seri Hamzah Zainudin) sebut pasal apa nak bebankan mereka (warga asing)... saya rasa aneh, what do you do (apa kamu buat)? Boleh tegur dan kritik tiada masalah, (tapi) bukan kita dera mereka, bukan rampas hak mereka.

 

“Kita tarik, tak bagi subsidi sebab di negara dia (warga asing) harga minyak lebih tinggi daripada RM2.50. Ya, di Singapura,Thailand, Indonesia semua lebih tinggi. Kita tarik subsidi itu kepada warga asing, itu pun salah juga,” tegas Anwar.

 

Perdana Menteri semalam mengumumkan beberapa inisiatif utama sebagai tanda penghargaan Kerajaan MADANI kepada rakyat, termasuk pemberian RM100 secara sekali beri di bawah program SARA, penangguhan kenaikan kadar tol bagi 10 lebuh raya dan subsidi harga petrol RON95 yang lebih rendah pada RM1.99 seliter.

 

M40 turut dapat manfaat

Sementara itu, Anwar berkata, golongan M40 turut mendapat manfaat daripada inisiatif kerajaan mengurangkan kos sara hidup.

 

Penurunan harga petrol RON95 serta penangguhan kenaikan kadar tol bagi 10 lebuh raya di seluruh negara antara inisiatif yang memberi manfaat kepada golongan M40, yang kebanyakannya menggunakan kenderaan seperti kereta dan melalui jalan bertol.

 

“Jadi kalau M40 kata sekarang ni kita hanya timbangkan B40 sahaja…kita mula dengan lebih rendah lagi, kita mula dengan kemiskinan tegar, lepas itu naik B40 (dan) sekarang naik M40. 

 

“Jadi begitu keadaannya, itu yang saya kata kena sabar sikit dalam pelaksanaannya tetapi sekurang-kurangnya alhamdulillah untuk M40 ini. Baik RON95 dan tol itu, beri manfaat kepada M40 dan ke atas,” katanya.

 

Semalam, Perdana Menteri dalam Pengumuman Penghargaan untuk Rakyat Malaysia berkata kerajaan bersetuju menangguh kenaikan kadar tol bagi 10 lebuh raya supaya rakyat terus menikmati kadar tol sama.

 

Antara lebuh raya terlibat ialah Lebuhraya Senai-Desaru (SDE), Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2), Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE), Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth (LLB) dan  Lebuhraya KL-Putrajaya (MEX).

 

Anwar turut mengumumkan harga petrol RON95 akan diturunkan susulan rancangan penyasaran subsidi bahan api itu, dan rakyat Malaysia dijangka menikmati harga RON95 lebih rendah iaitu RM1.99 seliter bermula hujung September tahun ini, berbanding harga semasa RM2.05 seliter. - BERNAMA