Jangan guna simpanan KWSP untuk bayar premium insurans kesihatan - Galen Centre | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Jangan guna simpanan KWSP untuk bayar premium insurans kesihatan - Galen Centre

Oleh Mohamad Iman

KUALA LUMPUR 6 Feb - Galen Centre for Health and Social Policy menolak cadangan kerajaan untuk membenarkan simpanan persaraan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) digunakan bagi membayar Pelan Insurans/Takaful Perubatan Asas (Base MHIT).

 

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Azrul Mohd Khalib memberi amaran cadangan itu boleh melemahkan keselamatan persaraan serta melebarkan jurang ketidaksamaan, dengan menekankan bahawa keselamatan persaraan tidak boleh ditukar ganti untuk perlindungan kesihatan.

 

“KWSP bertujuan melindungi rakyat Malaysia daripada kemiskinan pada usia tua. Ia tidak sepatutnya dijadikan sumber mudah bagi eksperimen pembiayaan penjagaan kesihatan,” tegasnya.

 

“Memberi kelulusan untuk potongan premium daripada simpanan KWSP mungkin memberi rasa selamat yang palsu, sambil secara senyap memburukkan krisis persaraan yang sudah pun serius.

 

“Menggunakan simpanan KWSP untuk membayar premium MHIT hanyalah langkah sementara yang menimbulkan masalah jangka panjang. Simpanan persaraan sepatutnya menjamin maruah dan keselamatan pada masa akan datang.

 

“Jika disalur ke premium bulanan atau tahunan, ia berisiko meninggalkan pencarum terdedah ketika mereka paling memerlukan perlindungan kewangan.”


 

GALEN
                        Azrul Mohd Khalib

 


Cadangan kerajaan dan risiko bagi pencarum

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, memaklumkan di Dewan Rakyat minggu lalu bahawa kerajaan sedang berbincang dengan KWSP untuk membenarkan pencarum menggunakan simpanan dalam Akaun 2 Sejahtera bagi membayar Base MHIT.

 

Galen Centre menekankan pengeluaran i-Lestari, i-Sinar dan i-Citra KWSP sejak beberapa tahun lalu telah menyebabkan sebahagian besar golongan berpendapatan rendah mempunyai simpanan KWSP yang kecil dan tidak mencukupi untuk persaraan.

 

“Jika simpanan Akaun 2 digunakan untuk membayar premium bulanan, ia berisiko menambah kerentanan ini,” kata Azrul.

 

“Secara praktikal, membenarkan rakyat menggunakan simpanan mereka sendiri untuk membeli insurans kesihatan asas mungkin nampak pragmatik bagi menampung kekurangan perlindungan, tetapi ia tidak menyelesaikan masalah jangka panjang.

 

"Dengan kos penjagaan kesihatan yang semakin meningkat, terutamanya di sektor swasta, ramai rakyat Malaysia merasa terhimpit antara perkhidmatan awam yang tidak mencukupi dan penjagaan swasta yang mahal.”

 

Azrul turut menegaskan, walaupun Base MHIT dikategorikan sebagai pelan ‘asas’, insurans kesihatan bukanlah perbelanjaan sekali sahaja.

 

“Premium Base MHIT akan meningkat dari semasa ke semasa. Faedahnya mempunyai had dan pengecualian tertentu. Bayaran bersama (co-payment) dan deduktibel masih boleh menyebabkan keluarga menghadapi kos sendiri yang besar ketika penyakit serius,” ujarnya.

 

Risiko jangka panjang EPF-financed premiums

“Dalam praktiknya, premium yang dibiayai KWSP mungkin nampak sebagai perlindungan tetapi sebenarnya meningkatkan kerentanan kewangan isi rumah dalam jangka masa dekat dan panjang.”

 

Walaupun White Paper Bank Negara Malaysia (BNM) menjanjikan “kestabilan premium yang lebih baik” bagi Base MHIT, dokumen itu secara jelas menyatakan bahawa premium akan tertakluk kepada penetapan semula berdasarkan pengalaman tuntutan kumpulan risiko, inflasi perubatan, dan sebarang semakan faedah yang dilindungi.

 

Base MHIT juga tidak menanggung keadaan sedia ada (pre-existing conditions), kerana produk ini dinilai risiko berdasarkan umur, jantina, dan status kesihatan individu.

 

Selain itu, bank pusat tidak menjamin pembayaran tuntutan; operator insurans dan takaful sedia ada dijangka akan menanggung Base MHIT, bukan kerajaan.

 

“Adalah menghairankan mengapa BNM dan Kementerian Kewangan mencadangkan langkah ini,” tambah Azrul.

 

Kebimbangan kewangan rakyat

“Laporan tahunan BNM 2024 menunjukkan peratusan rakyat Malaysia yang sukar mengumpul RM1,000 dalam kecemasan meningkat daripada 47% pada 2021 kepada 61% pada 2024.

 

“Tahap simpanan median KWSP juga belum pulih sepenuhnya selepas pandemik COVID-19. Mengapa BNM dan Kewangan ingin mengurangkan simpanan persaraan rakyat ketika situasi ini sangat kritikal?”

 

Menurut Azrul, cabaran asas bukanlah rakyat Malaysia tidak mampu membayar premium, tetapi kos penjagaan kesihatan dan inflasi perubatan terus meningkat, manakala sistem masih berpecah antara sektor awam dan swasta.

 

“Tanpa kawalan kos yang lebih ketat seperti Diagnosis-Related Groups (DRGs), ketelusan, serta reformasi pembelian dan pembayaran, produk Base MHIT berisiko menjadi lapisan tekanan kewangan tambahan dan bukannya penyelesaian yang mampan,” tegasnya.

 

“Malaysia memerlukan pembiayaan kesihatan yang lestari dan kawalan kos yang serius. Kita tidak sepatutnya menyelesaikan masalah kemampuan membayar penjagaan kesihatan dengan mengorbankan keselamatan persaraan.

 

"Kita mesti fokus pada reformasi yang menurunkan kos, meningkatkan nilai, dan melindungi isi rumah tanpa mengorbankan masa depan mereka,” kata beliau. - DagangNews.com