KUALA LUMPUR 8 Ogos - Sektor sukan perlu diangkat sebagai enjin ekonomi berbilion ringgit dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), dengan pelaburan berskala besar, pembangunan ekosistem menyeluruh dan peranan sebagai pemacu pelancongan serta penjenamaan negara, kata Pakar Komunikasi Strategik dan Penjenamaan Negara, Nordin Abdullah.
RMK13 yang akan bermula dari 2026 hingga 2030 memperuntukkan RM611 bilion dalam kerangka Ekonomi MADANI, memfokuskan pembangunan inklusif merentasi infrastruktur, teknologi dan modal insan.
Namun, menurut Nordin, sukan wajar dijadikan tiang keempat pembangunan negara.
“Pembangunan sukan berprestasi tinggi mencerminkan kekuatan institusi dan komuniti sesebuah negara. Atlet bertaraf dunia bukan sahaja lambang kejayaan sukan, tetapi juga duta kepada pencapaian ekonomi negara,” katanya kepada DagangNews.com.

Sukan Sebagai Kelas Pelaburan
Nordin menegaskan bahawa aset sukan kini dilihat sebagai kelas pelaburan baharu dengan potensi menjana pendapatan tinggi kepada negara, bukan lagi sekadar infrastruktur fizikal seperti stadium atau gelanggang.
“Stadium, kompleks sukan dan acara kejohanan boleh menjadi nadi ekonomi baharu jika diurus secara profesional – ia mampu memacu pekerjaan, pelaburan, inovasi dan pelancongan,” katanya.
Menurut beliau, sukan perlu dilihat sebagai industri teknologi tinggi yang menuntut ekosistem kepakaran merangkumi fisioterapi, psikologi sukan, pemakanan, sains prestasi dan analisis data.
“Jika kita mahu bersaing secara global, kita perlu bajet dan strategi yang mencerminkan realiti industri sukan moden. Pelaburan jangka panjang perlu diutamakan, sambil menangani keperluan semasa,” katanya.
Atlet Sebagai Duta Jenama Negara
Beliau menekankan nilai penjenamaan yang tinggi dalam sukan, dengan menyifatkan siaran langsung satu perlawanan antarabangsa mampu memberi pulangan imej lebih besar berbanding kempen pengiklanan tradisional.
“Atlet Malaysia adalah duta jenama negara. Syarikat yang ingin menembusi pasaran global harus melihat sokongan kepada atlet sebagai pelaburan strategik,” katanya.

Pelancongan Sukan Adalah 'Lubuk Emas'
Nordin turut menekankan potensi besar pelancongan sukan yang menurutnya masih belum dimanfaatkan sepenuhnya – bukan sahaja melalui kejohanan bertaraf dunia tetapi juga program akar umbi.
“Acara sukan membawa limpahan kepada ekonomi tempatan – dari hotel, restoran, pengangkutan hingga ke peruncitan. Kemudahan sedia ada perlu dioptimumkan,” ujarnya.
Beliau menyarankan agar negeri-negeri seperti Selangor, Johor, Pulau Pinang dan Sarawak diposisikan sebagai pusat tumpuan pelancongan sukan dan hab pembangunan acara antarabangsa.
“SUKMA di Selangor perlu dijadikan lebih daripada acara sukan – ia harus menjadi platform melahirkan bakat pelancongan sukan dan memprofesionalkan persatuan sukan negeri,” katanya.
Malaysia menurut Nordin sudah membuktikan keupayaan membida dan menganjurkan persidangan peringkat antarabangsa, dan kini perlu berani bersaing dalam sektor penganjuran sukan bertaraf dunia.
“Industri sukan global ialah peluang ekonomi berbilion dolar. Kita perlu bersedia bersaing dan menang dalam pentas ini,” katanya.
Cadangan Strategik Nordin Abdullah dalam RMK13
• Menjadikan sukan sebagai teras keempat dalam RMK13, bersama infrastruktur, teknologi dan modal insan
• Mengiktiraf aset sukan sebagai kelas pelaburan strategik
• Melabur dalam ekosistem sukan yang merangkumi sains sukan, psikologi, data dan perubatan sukan
• Menjadikan atlet sebagai duta jenama Malaysia yang mendapat sokongan korporat
• Memaksimumkan potensi pelancongan sukan menerusi acara antarabangsa dan akar umbi
• Memposisikan negeri-negeri strategik sebagai hab sukan serantau
• Menjadikan temasya seperti SUKMA platform membina bakat dan keupayaan penganjuran
Siapa Nordin Abdullah?
Nordin Abdullah ialah Pengarah Urusan Glenreagh Sdn Bhd dan pengasas Crisis Management Centre. Beliau merupakan Ahli EXCO Persatuan Pengamal Perhubungan Awam Malaysia (PRPM) dan bekas Naib Presiden Dewan Perniagaan dan Perindustrian Antarabangsa Malaysia (MICCI).
Dalam dunia sukan, beliau mempunyai pengalaman kepimpinan dalam kriket Malaysia dan terkenal dengan pelbagai inisiatif pemikiran strategik seperti Malaysia Global Business Forum, Tomorrow’s Leaders Summit dan Kedah International Photography Awards. - DagangNews.com








