Jabatan Kastam Diraja Malaysia kutip hasil RM57 bilion dari Januari hingga September 2025 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Jabatan Kastam Diraja Malaysia kutip hasil RM57 bilion dari Januari hingga September 2025

KUALA LUMPUR 31 Okt – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) mencatat kutipan hasil negara sebanyak RM57 bilion dari Januari hingga September tahun ini.

 

Jumlah kutipan itu melebihi anggaran awal Kementerian Kewangan sebanyak RM54.62 bilion, menghasilkan lebihan RM2.38 bilion dengan prestasi 104.36%.

 

Ketua Pengarah JKDM, Datuk Anis Rizana Mohd Zainudin berkata, kutipan hasil sehingga 30 September telah melepasi sasaran awal sebelum Bajet 2026.

 

“Susulan pembentangan Bajet 2026, jabatan kini membuat sasaran dengan semakan semula sebanyak RM73.26 bilion.

 

“Sasaran awal kutipan hasil tahun ini ialah RM67.25 bilion,” katanya kepada pemberita selepas sambutan ulang tahun ke-62 Penganugerahan Gelaran Diraja JKDM di Kajang hari ini.

 

Dalam pada itu, Anis Rizana berkata, pihaknya yakin JKDM akan mencapai sasaran baharu menjelang akhir tahun melalui pelbagai inisiatif dan program yang dilaksanakan sejak awal tahun.

 

“Jabatan sentiasa bersedia menghadapi sasaran tinggi yang ditetapkan kerajaan menjelang penghujung tahun,” katanya.

 

Majlis ulang tahun penganugerahan Diraja itu bukan sahaja meraikan sejarah jabatan, tetapi juga menjadi sumber motivasi kepada kakitangan untuk terus melaksanakan tugas dengan integriti.

 

Gelaran Diraja yang dianugerahkan kepada JKDM pada 29 Oktober 1963 diiktiraf sebagai pengiktirafan tertinggi negara terhadap sumbangan penting jabatan, yang ketika itu dikenali sebagai Jabatan Kastam dan Eksais.

 

JKDM memainkan peranan penting dalam pembangunan negara, termasuk mengutip hasil, memudahkan perdagangan, dan menguatkuasakan undang-undang.

 

Pada awal pembentukan Malaysia, jabatan ini menyumbang lebih 50%  daripada jumlah hasil tahunan kerajaan Persekutuan membuktikan peranannya sebagai teras pembangunan ekonomi negara. - BERNAMA