KUALA LUMPUR 21 Ogos – Ivory Properties Group Bhd mengesahkan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan mereka, Datuk Low Eng Hock sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa dalam siasatan berterusan berkaitan MBI.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat itu berkata, siasatan yang sedang berjalan tidak menjejaskan kewangan atau operasi syarikat setakat ini.
Ivory Properties berada di bawah status Nota Amalan 17 (PN17) sejak 2022 selepas juruaudit menimbulkan kebimbangan mengenai kemampuan syarikat untuk terus beroperasi sebagai entiti kukuh.
“Tiada sebarang maklumat tambahan dapat diberikan pada ketika ini berkaitan siasatan tersebut,” kata Ivory Properties.
Eng Hock adalah pemegang saham utama syarikat dengan pegangan sebanyak 23.01% setakat 25 Julai 2025.
Sebelum itu, beliau menjual 49 juta saham bersamaan kira-kira 10% pegangan dalam syarikat, menurut laporan bursa bulan lalu.
Lebih 24 individu telah ditahan sebagai sebahagian daripada siasatan terhadap MBI, skim piramid yang melibatkan deposit berjumlah ratusan juta ringgit daripada pelabur termasuk dari China.
Skim itu ditumpaskan pihak berkuasa di Pulau Pinang pada 2018 tetapi diteruskan di Danok, Thailand untuk beberapa tahun berikutnya sehingga dalang utama, Tedy Teow, ditangkap pada 2022 dan diekstradisi ke China untuk menghadapi pertuduhan di mahkamah negara itu.
Pada ketika itu, wang MBI dilaburkan terutamanya dalam sektor hartanah, khususnya di Pulau Pinang dan Kedah.
Di Pulau Pinang, MBI mempunyai hubungan rapat dengan Ivory Properties. Teow dan keluarganya merupakan pelabur dalam projek utama Ivory Properties iaitu pembangunan Penang Times Square.
MBI bertindak sebagai penyewa utama (anchor tenant) Penang Times Square sehingga skim itu runtuh. Hartanah yang kini terbengkalai itu berada di bawah pengurusan penerima.- DagangNews.com








