KUALA LUMPUR 22 Ogos - Syarikat di bawah status Amalan Nota 17 (PN17), Ivory Properties Group Bhd mengumumkan Bursa Securities telah menolak permohonannya untuk lanjutan masa tambahan bagi mengemukakan pelan regularisasi.
Dalam makluman di Bursa Malaysia, pemaju hartanah berpangkalan di Pulau Pinang itu berkata penolakan tersebut dibuat menerusi sepucuk surat daripada Bursa Securities bertarikh sama.
Pengawal selia pasaran saham itu menyatakan kegagalan Ivory menunjukkan sebarang perkembangan material ke arah memuktamadkan serta mengemukakan pelan regularisasi sebagai alasan keputusan tersebut.
Sehubungan itu, dagangan sekuriti Ivory akan digantung berkuat kuasa 29 Ogos, dan syarikat akan dinyahsenaraikan pada 3 September, melainkan satu rayuan dikemukakan.
Syarikat mesti menghantar rayuan kepada Bursa Securities selewat-lewatnya pada 28 Ogos. Jika rayuan dikemukakan dalam tempoh tersebut, proses penyahsenaraian akan ditangguhkan sehingga keputusan Bursa Securities dibuat. Walau bagaimanapun, dagangan sekuriti tetap akan digantung pada 29 Ogos.
Meskipun dinyahsenaraikan kelak, Ivory masih kekal wujud sebagai entiti perundangan dan boleh meneruskan operasi serta usaha penstrukturan semula.
Para pemegang saham juga akan terus mengekalkan hak mereka di bawah Akta Syarikat 2016, meskipun saham syarikat tidak lagi akan disenaraikan atau diniagakan di Bursa Securities.
Ivory mula dikategorikan sebagai syarikat PN17 pada 2022 selepas juruaudit luar, Messrs KPMG PLT, mengeluarkan kenyataan disclaimer of opinion terhadap penyata kewangan beraudit kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2022 (FY2022).
Kumpulan itu melaporkan kerugian bersih RM79.51 juta untuk FY2022, dengan liabiliti melebihi aset semasa sebanyak RM60.22 juta.
Saham Ivory tidak diniagakan pada Khamis. Ia terakhir ditutup pada harga 2 sen sesaham pada Rabu, memberikan syarikat modal pasaran sebanyak RM9.8 juta. Saham tersebut telah merosot 60% sejak awal tahun ini. - DagangNews.com








