Isu sisa pepejal: Nik Abduh mahu jaminan hak Kelantan dalam pelaksanaan Akta 672 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Isu sisa pepejal: Nik Abduh mahu jaminan hak Kelantan dalam pelaksanaan Akta 672

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 10 Sept – Isu pengurusan sisa pepejal kembali mendapat perhatian di Dewan Negara apabila Senator Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz menyuarakan kebimbangan berhubung pelaksanaan Akta 672 (Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007) oleh kerajaan negeri yang masih belum menerimanya, termasuk Kelantan.

 

Setakat ini, beliau gembira dengan perkembangan rundingan positif antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri.

 

Namun, pada masa sama mahu jaminan dari kerajaan pusat supaya hak negeri dan rakyat sentiasa menjadi keutamaan dalam apa-apa pelaksanaan dasar baharu.

 

“Isu pengurusan sisa pepejal amat kompleks, memerlukan kerjasama erat pelbagai pihak. 

 

 

 

 

 

 

 

"Persoalannya, adakah penerimaan Akta 672 datang dengan jaminan agar kepentingan negeri, pihak berkuasa tempatan (PBT) serta rakyat tetap terpelihara?” soalnya.

 

Nik Abduh berkata demikian ketika mengemukakan soalan tambahan kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming pada sesi pertanyaan lisan di Dewan Negara.

 

Sementara itu, Kor Ming berkata, Akta 672 dilaksanakan berasaskan semangat federalisme Malaysia melalui kerjasama strategik antara Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan PBT.

 

Beliau menjelaskan, tanggungjawab, bidang kuasa serta kos operasi diagihkan mengikut nisbah yang dipersetujui bersama, sebagaimana model yang telah dilaksanakan lebih 10 tahun di negeri-negeri yang lain.

 

“Prinsipnya jelas iaitu bukan pusat mengambil alih mutlak, tetapi kerjasama bersama. Negeri dan PBT tetap ada peranan yang signifikan,” katanya.

 

Beliau berkata, KPKT sangat mengalu-alukan semua negeri untuk memperkukuh kerjasama dengan Kerajaan Persekutuan demi memastikan Malaysia kekal bersih dan rakyat hidup sejahtera.

 

 

 

 

Dalam soalan asal, Nik Abduh meminta KPKT menyatakan pelan tindakan nasional bagi menyelaras pengurusan sisa pepejal di seluruh negara, tanpa mengira status penerimaan Akta 672.

 

Beliau juga ingin tahu sama ada terdapat tawaran berbentuk rundingan, insentif mahupun bentuk kerjasama tertentu bagi negeri-negeri yang masih belum menandatangani kesepakatan pelaksanaan akta tersebut.- DagangNews.com